Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF
GEORGE TOWN – Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) baru-baru ini pada Mesyuarat Jawatankuasa Tetap Infrastruktur & Lalulintas meluluskan penukaran aliran lalulintas sehala di sebahagian Cangkat Minden Jalan 13 dan sebahagian Jalan Kedah di sini selama tempoh percubaan tiga bulan.
Yang di-Pertua MPPP, Datuk Ar. Patahiyah Ismail Pengerusi Gantiannya, Muhammad Sabri Md. Osman berkata, cadangan bakal dilaksanakan pada waktu tertentu akan digunapakai di sebahagian Cangkat Minden Jalan 13.
“Arah aliran lalulintas sehala yang dicadangkan adalah dari Cangkat Minden Jalan 14 ke Cangkat Minden jalan 15.
“Pihak Majlis akan melaksanakan tiga waktu pelaksanaan iaitu 6.30 pagi hingga 8 pagi, 12.30 tengahari hingga 2 petang dan 3 petang hingga 7.30 malam,” ujarnya pada Mesyuarat Biasa Majlis di Dewan Bandaran, Padang Kota Lama di sini barubaru ini.
Menurut Muhammad Sabri, turut berlaku penukaran arah lalulintas dua hala ke sehala adalah di sebahagian Jalan Kedah.
“Ia melibatkan di antara Jalan Burma dan lorong belakang dengan arah aliran dari Jalan Burma menuju ke lorong belakang pada tempoh percubaan yang sama (tiga bulan),” jelas beliau.
Dalam pada itu, Jawatankuasa juga meluluskan cadangan menaiktaraf sebuah jejantas pejalan kaki di persimpangan Jalan Penang/Jalan Burma/Jalan Dr. Lim Chwee Leong oleh pemaju, IGB Corporation Berhad.
“Jejantas ini adalah secara tajaan oleh IGB Corporation Berhad dan sebagai balasan, syarikat terbabit diberi hak ruang iklan dengan syarat-syarat yang akan ditentukan kemudian,” ulas Muhammad Sabri.