Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF
GEORGE TOWN – Bagi melancarkan pergerakan trafik di Jalan Han Chiang dan sebahagian Cangkat Minden di sini, Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) mengambil inisiatif menukar aliran lalulintas kepada sehala pada waktu puncak masing-masing berkuatkuasa pada 6 Januari lalu dan 13 Februari ini.
Ahli Majlis MPPP, Muhammad Sabri Md. Osman berkata, jalan sehala tersebut akan memudahkan ibu bapa menghantar dan mengambil anak-anak mereka sekaligus dapat meningkatkan keselamatan masing-masing.
“Arah lalulintas yang telah dicadangkan bagi menguraikan kesesakan traffik dua hala kepada sehala adalah di Jalan Han Chiang di antara Jalan Lim Lean Teng dan Jalan Ayer Itam.
“Trafik akan diuraikan melalui simpang Jalan Lim Lean Teng/Jalan Han Chiang ke Jalan Air Itam bermula pukul 6.30 pagi hingga 8 pagi dan 2 petang sehingga 4 petang,’’ ujarnya pada satu sidang media di Sekolah Han Chiang di sini baru-baru ini.
Turut hadir, Pengetua Sekolah Han Chiang, Datuk Dr. Cheah See Kian, Guru Besar Sekolah Kebangsaan Minden Height, Ilias Tajudin, Yang Dipertua PIBG Minden Height, Dr. Fadzilah Amzah, Jurutera Lalulintas dan Pengangkutan MPPP, Zainuddin Mohd. Shariff dan Ahli-ahli Majlis MPPP.
Tambah, Muhammad Sabri, turut termasuk adalah sebahagian Cangkat Minden Jalan 13 di antara Cangkat Minden Jalan 14 dan Cangkat Minden Jalan 15 yang mana aliran lalulintas dicadangkan adalah dari simpang Cangkat Minden Jalan 14/ Cangkat Minden Jalan 13 ke Cangkat Minden Jalan 15.
“ Tiga waktu bakal dikuatkuasakan iaitu dari 6.30 pagi hingga 8 pagi, 12.30 tengah hari hingga 2 petang dan 6 petang hingga 7.30 malam,” jelasnya.
Beliau memberitahu, langkah menukar sistem aliran lalulintas tersebut dilihat dapat mengurangkan kesesakan di kawasan sekolah pada waktu masuk dan tamat persekolahan.
“Orang ramai dan ibu bapa dinasihatkan untuk mematuhi arah aliran lalulintas dan larangan-larangan yang telah ditetapkan demi kelicinan lalulintas di kawasan terlibat,” tegas Muhammad Sabri.