Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB & NORSHAHIDA YUSOFF
SEBERANG JAYA – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, semua Ahli Majlis bagi Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) yang dilantik bagi tahun 2014 akan dinilai sepanjang masa serta akan digugurkan jika tidak sukses demi meningkatkan mutu pelanggan.
Ingatan serupa turut disampaikan kepada 24 Ahli Majlis bagi Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) pada satu majlis berasingan di Dewan Bandaran dekat Padang Kota Lama, George Town baru-baru ini.
“Saya telah meminta dibuat satu penilaian kepada semua Ahli Majlis kerana kita (Kerajaan Negeri) serius untuk meningkatkan mutu pelanggan…ini KPI (Petunjuk Prestasi Utama) kita.
“Kita tidak akan tangguh-tangguh untuk membetulkan mutu yang silap, kita tidak akan tunggu sampai habis tempoh perjawatan (seseorang Ahli Majlis yang tidak sukses),”ujarnya pada majlis istiadat pelantikan Ahli Majlis MPSP Sesi Tahun 2014 di Kompleks Ibu Pejabat MPSP dekat Bandar Perda di sini baru-baru ini.
Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mohd. Rashid Hasnon, Prof. Dr. P.Ramasamy (Timbalan Ketua Menteri II), Chow Kon Yeow (Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir), Datuk Farizan Darus (Setiausaha Kerajaan Negeri) dan Maimunah Mohd. Sharif (Yang di-Pertua MPSP) turut hadir pada majlis itu.
Hadir sama, beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen lain.
Dalam perkembangan sama, Guan Eng mencadangkan Sikap Kerja Baik, Sikap Positif dan Semangat Berpasukan (3S) dijadikan budaya kerja Ahli Majlis bagi tempoh perjawatan tahun ini.
Tambah beliau, MPSP dan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) diharap mampu mengambil alih 100 peratus kerja-kerja pembersihan sebagaimana disasarkan oleh Kerajaan Negeri demi menjimatkan sumber PBT.
“Saya rasa ini bukan satu tugas yang mudah, tetapi, peluang pekerjaan perlu kembali diberi kepada anak tempatan, bukan buruh asing,” tegas beliau.
Sebelum itu, Kon Yeow berkata, Kerajaan Negeri pada tahun ini akan terus memberi fokus pada pembangunan Seberang Perai, di samping kawasan pulau.
“Fokus pembangunan telah diberikan kepada Seberang Perai, ertinya masa depan Pulau Pinang adalah Seberang Perai.
“Kalau MPSP sukses, maka, Kerajaan Negeri dianggap telah sukses. Jadi, tumpuan pada MPSP sangat penting,” jelas beliau.
MPPP mengekalkan 19 Ahli Majlis dan terdapat lima muka baru yang dilantik iaitu Mohd. Hariszuan Jaharudin, Tan Hooi Peng, A. Kumaresan, Mhd Nasir Yahya dan Eric Lim Seng Keat.