SUNGAI BAKAP – Kerajaan Negeri akan mengamalkan konsep baru yang dikenli sebagai Pentadbiran Berteraskan Hasil (outcame based administration), selain, mengekalkan konsep tadbir urus sedia ada, iaitu Pentadbiran Berteraskan Belanjawan (budget based administration).
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, kombinasi konsep dwipentadbiran itu diharap dapat terus mengelak ketirisan dalam perbelanjaan wang awam serta memastikan kegunaan dana kerajaan untuk tujuan yang paling sesuai sahaja.
Pengumuman itu dibuat semasa Kerajaan Negeri sejak tahun 2008 lagi dilihat berjaya melaksanakan program-program sumbangan emas secara langsung kepada rakyat yang dianggarkan berjumlah RM150 juta.
“Lebihan bajet dan simpanan terkumpul ini telah mendorong Kerajaan Negeri untuk terus berkongsi kekayaan yang dikecapi bersama dengan rakyat Pulau Pinang melalui program-program kebajikan emas.
“(Itu, tidak termasuk) pemberian insentif kepada pelajar cemerlang SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) dan STPM (Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia), bantuan kepada orang kurang upaya (OKU) dan ibu tunggal.
“Kesemua kos sumbangan programprogram ini sejak tahun 2008 menelan belanja kira-kira RM150 juta,” ujar beliau pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Kerajaan Negeri di sini baru-baru ini.
Yang Di-Pertua Negeri, Tuan Yang Terutama (T.Y.T), Tun Abdul Rahman Abbas dan isteri, Toh Puan Majimor Shariff menjadi dif kehormat utama pada keraian tersebut.
Hadir bersama, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Law Choo Kiang dan isteri, Datin Teoh Hooi Tuang, Datuk Mohd Rashid Hasnon (Timbalan Ketua Menteri I) dan isteri, Datin Nor Azizah Haron, Prof. Dr. P.Ramasamy (Timbalan Ketua Menteri II) dan isteri, K.Kalaiarasi, Datuk Farizan Darus (Setiausaha Kerajaan Negeri) dan isteri, Datin Hamidah Mat Daud serta semua Exco dan ADUN.
Guan Eng yang juga ADUN Air Putih sekali lagi mengumumkan bahawa Kerajaan Negeri akan terus memperluaskan program emas, termasuk sumbangan RM100 setahun kepada ibu emas yang tidak bekerja mulai tahun 2014.
Dalam perkembangan lain, beliau turut menyeru kaum wanita di bawah usia 35 tahun supaya segera mendaftarkan diri dengan Briged Wanita Pulau Pinang serta Program Pemeriksaan Mammogram percuma.