Amal SOP ketat, Pulau Aman kekal status mukim hijau

Admin

BUKIT TAMBUN – Pulau Aman yang terkenal dengan kawasan pelancongan masih berjaya mengekalkan status sebagai antara mukim yang tidak merekodkan sebarang kes jangkitan COVID-19 sehingga kini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tambun, Goh Choon Aik berkata bahawa keadaan itu mungkin disebabkan oleh pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat dalam kalangan penduduk di pulau berkenaan.

“Penduduk Pulau Aman mengambil keputusan untuk memperketatkan SOP dengan tidak membenarkan kemasukan pelancong sama ada dari dalam dan luar negeri sejak kerajaan mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 sejak Januari lalu.

Pengerusi MPKK Pulau Aman, Saibi Abdul Majid membantu mengagihkan bantuan bekalan makanan daripada ADUN Bukit Tambun, Goh Choon Aik kepada keluarga yang layak.

“Langkah ini menyebabkan Pulau Aman (Mukim 16) menjadi antara mukim yang masih mengekalkan status hijau kerana belum pernah mencatatkan sebarang kes jangkitan COVID-19 sejak pandemik mula melanda negara pada tahun lepas.

“Saya difahamkan, pihak Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) mengambil keputusan untuk mengutamakan kesihatan dan keselamatan penduduk di pulau itu dan penduduk di sana juga amat meniktikberatkan SOP.

“Justeru, sekiranya berlaku sesuatu seperti penularan pandemik, mereka segera menutup akses ke Pulau Aman daripada kemasukan orang luar,” katanya kepada Buletin Mutiara ketika dihubungi baru-baru ini.

Walau bagaimanapun, kata Choon Aik, sumber pendapatan penduduk Pulau Aman pada maa ini terjejas teruk akibat penularan COVID-19 kerana kebanyakan daripada mereka bergantung sepenuhnya kepada aktiviti nelayan.

“Setakat ini, penduduk masih lagi mampu menjana pendapatan kerana mereka dibenarkan turun ke laut untuk menangkap ikan tetapi masalahnya adalah apabila permintaan terhadap hasil tangkapan mereka sangat kurang kerana ketiadaan pelancong.

“Jadi, jualan hasil tangkapan termasuk makanan yang diproses seperti ikan masin, belacan dan kerepek sangat terjejas. Oleh itu, mereka tidak ada pilihan lain selain mengurangkan hasil tangkapan untuk mengelakkan kerugian.

“Selain itu, perusahaan inap desa dan bot tambang untuk pelancongan dan aktiviti memancing juga terjejas teruk,” jelasya lagi.

Menyedari permasalahan tersebut, kata Choon Aik, beliau akan menyalurkan bantuan berupa bakul makanan kepada semua 45 keluarga di Pulau Aman yang terjejas dek pelaksanaan PKP ketika ini.

“Pejabat saya (ADUN Bukit Tambun) sedang mengaturkan bantuan berupa bakul makanan dan dalam masa terdekat ini kita akan hantar kepada semua 45 penduduk di sana.

“Sebelum ini kita sudah berikan bantuan tetapi hanya untuk keluarga yang terjejas tetapi kali ini kita berikan kepada semua,” ujarnya lagi.

Difahamkan, setakat ini seramai 26 keluarga di Pulau Aman telah pun menerima bantuan bekalan makanan daripada Choon Aik.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS