Amalan gotong-royong di sekolah jangan bermusim – seru ADUN Seri Delima

Admin
SYERLEENA Abdul Rashid turut menyiram pokok sejurus tamat berucap pada Gotong Royong Perdana Tahun 2018 di SMK Dato Haji Md Nor Ahmad baru-baru ini.

SERI DELIMA – Cuaca tidak menentu dek hujan serta kekangan masa dalam membuat persiapan menghadapi musim peperiksaan yang dijadual berlangsung dalam tempoh terdekat, tidak membantutkan perancangan pentadbrian Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Haji Md Nor Ahmad menganjurkan Hari Gotong-Royong Perdana Peringkat Sekolah 2018 di sini 13 Oktober lalu.

Ketika berucap, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, Syerleena Abd. Rashid memuji inisiatif pentadbrian sekolah kerana menganjurkan aktiviti membersihkan kawasan sekolah secara berkala sepanjang tahun, bukan pada musim tertentu sahaja.

“Pilihan untuk membuat perubahan dari segi gaya hidup berada di tangan kita,” katanya ketika merasmikan program tersebut.

Menurut Syerleena, amalan memelihara serta memulihara alam sekitar terutama di sekitar kawasan sekolah sebenarnya boleh mewujudkan suasana belajar yang lebih kondusif dalam kelas.

Justeru tambahnya, secara umum, tahap kesedaran pihak pentadbrian sekolah mengenai peri penting menganjurkan program gotong-royong secara berlaku, bukan bermusim, seharusnya dipupuk juga.

Dalam perkembangan berkaitan, Syerleena turut menasihatkan para pelajar supaya mengamalkan budaya santun serta menggunakan Bahasa Melayu tinggi.