BERSIHKAN… Sejajar hasrat Kerajaan Negeri dalam menjadikan kawasan persekitaran selesa untuk didiami komuniti setempat, satu gotong-royong diadakan di Flat Medan Tengku, Jelutong, semalam.
Gotong-royong tersebut dipimpin oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pinang, Lim Siew Khim dan Ahli Parlimen Jelutong, R.S.N Rayer.
Rayer ketika ditemui berkata, program gotong-royong perlu diadakan secara konsisten di semua peringkat komuniti agar kebersihan persekitaran lebih terjaga setiap masa.
“Ianya tidak boleh dilakukan secara waktu tertentu sahaja, kerana saya yakin tiada individu di sini yang mahu hidup dalam persekitaran yang kotor… sebab jika kawasan kotor semua orang tidak selesa dan paling memburukkan adalah wabak penyakit seperti denggi mudah menyerang sesuatu lokaliti.
“Namun langkah terbaik adalah setiap penduduk perlu memainkan peranan menjaga persekitaran dengan tidak membuang sampah merata-rata di sekitar kawasan Medan Tengku ini,” ujarnya yang menyarankan agar program seumpama ini diadakan secara bulanan bagi mengelakkan tularnya wabak penyakit.
Pada program tersebut, Rayer dan Siew Khim turut bersama-sama menyertai penduduk setempat dan kakitangan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) melakukan kerja-kerja pembersihan di Flat Medan Tengku seawal jam 8:00 pagi.
Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar: FACEBOOK RSN RAYER