Ambil kira impak COVID-19, unjuran kutipan zakat Pulau Pinang dikurangkan 10% – CEO ZPP

Admin
AMRAN Hazali (paling kanan) mengiringi Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman (tengah) menerima RM600,000 zakat korporat daripada wakil Maybank Islamic Berhad, Zolkefli Awang dalam majlis yang berlangsung di Ixora Hotel, Seberang Jaya di sini pada petang ini.


GEORGE TOWN
– Sasaran asal RM136 juta kutipan bagi tahun 2020 akan diunjurkan semula dengan pengurangan 10 peratus, setelah mengambil kira kesan berantai daripada pandemik COVID-19 yang di luar jangkaan semua pihak.

Pun begitu, Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Pulau Pinang (ZPP), Amran Hazali berkata bahawa jumlah permohonan bantuan zakat dijangka terus meningkat sungguhpun Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dijadualkan sehingga 31 Ogos ini.

“Unjuran asal yang kita (ZPP) sasar pada tahun ini adalah sebanyak RM136 juta, tetapi oleh kerana COVID-19 ini, kita mendapati corak dan arah aliran kutipan itu agak perlahan.

“Jadi, setelah mendapat persetujuan daripada Lembaga Pengarah (ZPP), maka kita terpaksa menyemak semula (unjuran) yang kita sasar pada (angka baharu iaitu) RM122.4 juta…menyamai penurunan kira-kira 10 peratus.

“Walaupun demikian, kita berharap kutipan dapat melebihi jangkaan, kerana ada sedikit peningkatan hasil kutipan zakat (kini),” jelasnya dalam sidang media bersama-sama Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman selepas Majlis Hi-Tea Dan Serahan Zakat Korporat di Hotel Ixora, Seberang Jaya pada 27 Ogos 2020.

Menurutnya, jumlah permohonan bantuan zakat sehingga bulan Jun lepas adalah meningkat hampir sekali ganda berbanding tempoh sama pada tahun 2019.

“Kalau sebelum ini agihan itu melibatkan 24,000 penerima (zakat), tetapi sehingga bulan Jun telah mengagihkan bantuan zakat melibatkan lebih 42,000 penerima.

“(Sejumlah) RM15.1 juta telahpun dibelanjakan khusus untuk Pakej Bantuan COVID-19 sahaja… (namun) kita masih berwaspada kerana situasi mungkin berubah selepas tamatnya tempoh moratorium pada bulan September ini.

“Agihan kemungkinan akan meningkat selepas bulan September nanti,” jelasnya sambil menganggap pandemik COVID-19 telah melahirkan ‘kemiskinan situasi’ bersifat sementara dalam kalangan umat Islam.

Sebelum itu, Ahmad Zakiyuddin yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) berkata ZPP belum ada cadangan untuk memohon dana khas daripada agensi persekutuan untuk membantu umat Islam di negeri ini, sungguhpun perkara kewangan menurut Perlembagaan Persekutuan adalah di bawah Senarai Persekutuan.

“Setakat ini, tidak ada dibincangkan,” responsnya yang juga Exco Hal Ehwal Agama Islam, Pembangunan Industri dan Perhubungan Masyarakat.

Sebelum itu, Amran mengiringi Ahmad Zakiyuddin menerima RM1.23 juta serahan zakat korporat daripada wakil Maybank Islamic Berhad; Etiqa Family & General Takaful Berhad; QSR Brands; Bank Muamalat Malaysia Berhad; Rural Capital Berhad dan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA).

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD