Ambil maklum perkasakan kemudahan kuil, teruskan kolaborasi

Admin

KEBUN BUNGA – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow bakal mengambil maklum mengenai permintaan Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy dalam memperkasakan kemudahan Kuil Thanneermalai Shree Balathandayuthapani Devasthanam atau juga dikenali sebagai Waterfall Hilltop Temple di sini.

 

 

Menurut beliau, pertimbangan berkaitan adalah ekoran fungsi kuil tersebut yang berperanan menggembelengkan penganut-penganut agama Hindu dan juga masyarakat umum terutamanya pada sambutan Thaipusam saban tahun.

 

 

“Justeru, saya mengambil maklum perkara yang dibangkitkan oleh Timbalan Ketua Menteri II berhubung pembinaan dewan serbaguna dan juga pengangkutan khas untuk ke puncak kuil berkaitan,” ujarnya pada Majlis Sambutan Thaipusam dekat Kuil Thanneermalai Shree Balathandayuthapani Devasthanam di sini petang tadi.

 

Hadir sama, Ahli Parlimen Tanjong merangkap Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Dalm, M. Satees; ADUN Pengkalan Kota, Daniel Gooi Zi Sen; ADUN Seri Delima merangkap Ahli Parlimen Bukit Bendera; Syerleena Abdul Rashid; ADUN Pulau Tikus, Chris Lee Chun Kit; Ahli-ahli Lembaga Wakaf Hindu (HEB) Pulau Pinang dan pengerusi-pengerusi kuil-kuil  terlibat.

 

 

Difahamkan, dalam menjayakan sambutan Thaipusam tahun ini, Kerajaan Negeri turut memperuntukkan RM200,000 kepada kepada kuil Thanneermalai Shree Balathandayuthapani Devasthanam.

 

 

Mengulas lanjut, Kon Yeow menyatakan bahawa Kerajaan Negeri akan senantiasa berikhtiar untuk berkolaborasi dengan HEB Pulau Pinang dan pertubuhan-pertubuhan kuil di sini supaya pembangunan agama Hindu serta komuniti India di negeri ini berkembang sejajar dengan pembangunan Pulau Pinang dan seterusnya menyumbang kepada keharmonian (negeri ini) secara menyeluruh.

 

 

“Saya sedia maklum bahawa HEB Pulau Pinang dan pertubuhan-pertubuhan agama Hindu di negeri Pulau Pinang memainkan peranan dan fungsi yang begitu baik.

 

 

“Yang mana, selain kewajipan agama, pihak berkaitan juga melaksanakan perkara-perkara lain berkaitan pembangunan masyarakat India membabitkan sektor budaya, sosial, pendidikan, kebajikan dan lain-lain,” jelasnya lanjut.

 

 

Tambah Kon Yeow, sambutan Thaipusam 2023 disifatkan sangat meriah ekoran Prosedur Operasi Standard (SOP) ketat dalam tempoh dua tahun sebelum ini.

 

 

“Maklumat daripada pihak polis menganggarkan 1.5 juta pengunjung mengunjungi Pulau Pinang bagi meraikan sambutan Thaipusam pada tahun ini.

 

 

“Kerajaan Negeri dalam pada itu amat mengalu-alukan kehadiran para pelancong dan penganut-penganut agama Hindu yang mengambil inisiatif khas menyambut Thaipusam di Pulau Pinang.

 

 

“Malah, pada hari ini juga, mungkin ada di antara kita menerima ucapan ‘Chapusam’, ‘Thai Goh Meh’ dan sebagainya memandangkan dua perayaan penting bagi masyarakat India serta Cina jatuh pada hari yang sama… itulah keunikan negeri Pulau Pinang,” ulasnya yang juga ADUN Padang Kota.

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR

Video : DARWINA MOHD. DAUD