GEORGE TOWN – Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Chan Soon Aun mahu pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini bertindak lebih proaktif dengan menggubal Undang-undang Kecil yang akan memberikan punca kuasa dalam mengatasi lambakan kereta terbiar dan buruk di tempat-tempat awam.
Menurut Soon Aun, antara pelan jangka pendek adalah menggunakan ruang tanah lapang atau premis tidak digunakan milik MBPP untuk menempatkan kenderaan-kenderaan yang ditunda ekoran kes terbiar.
“Kenderaan-kenderaan terbiar yang tamat cukai jalan ini, akan ditunda ke depoh atau ke gudang penyimpanan.
“Nombor pendaftaran dan model kenderaan direkod untuk tujuan menyemak atau mengenal pasti identiti pemilik dengan mendapatkan kerjasama daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Pemilik kenderaan ini akan dihubungi dan dimaklumkan caj penyimpanan kereta buruk di dalam depoh atau di dalam gudang.
“(Dan) bertanyakan rancangan mereka terhadap kereta buruk mereka dan jika mereka berhasrat untuk melupuskan kenderaan dan menjualnya sebagai barang lusuh kita boleh membantu untuk menyempurnakan hasrat mereka,” ujar Soon Aun pada ucapan penangguhan Majlis Mesyuarat Biasa MBPP dekat Dewan Bandaraya di sini pagi tadi.
Tambahnya lagi, selain daripada menimbulkan kacau ganggu dan halangan di tempat awam, kenderaan terbiar dan kereta buruk ini mampu menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes dan ada di antaranya sebagai tempat persembunyian haiwan berbisa.
“Kehadiran kereta usang di kawasan perumahan bukan sahaja mencacatkan pemandangan tetapi juga menyukarkan ‘wira-wira kuning’ kita menjalankan kerja-kerja pembersihan.
“Kehadiran kereta usang juga menimbulkan kemarahan dalam kalangan penduduk apabila ruang atau petak letak kereta yang ada itu telah dipenuhi dengan kereta usang.
“Kalaulah kerja-kerja pembersihan dan kutipan sampah di kawasan perumahan telah kita swastakan maka kerja-kerja mengangkat ubah atau menunda kereta buruk pun boleh kita swastakan untuk meningkatkan tahap kecekapan kita melupuskan kenderaan buruk di kawasan perumahan di samping mengurangkan beban tugas hakiki pegawai penguat kuasa kita untuk menjaga kelancaran lalu lintas.,” katanya lagi.
Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : MBPP