Anak Pulau Pinang bawa rekaan kebaya nyonya ke pentas antarabangsa

Admin
img 4217

MENAMATKAN pengajian dalam bidang nutrisi ternyata tidak menghalang anak jati Pulau Pinang, KENNY LOH SENG KEAN untuk menempa nama dalam dunia jahitan dan rekaan.

Kemahiran menghasilkan kebaya nyonya, sulaman dan rekaan kasut manik yang menjadi identiti tradisi kaum Baba dan Nyonya telah berjaya meletakkan nama beliau pada kedudukan yang tersendiri dalam bidang tersebut.

Ketika ditemui Buletin Mutiara, Seng Kean pada mulanya mengakui bahawa beliau kurang mengenali asal usul keluarganya yang berketurunan Baba Nyonya sehinggalah beliau menyambung belajar pada peringkat universiti.

“Sebelum tahun 2017, saya sendiri tidak pernah memegang jarum, namun perasaan ingin menerokai keunikan fesyen Baba dan Nyonya itu makin mendalam selepas mengetahui mengenai salasilah keluarga.

“Ketika di universiti saya pernah lihat juadah-juadah makanan sama seperti yang di masak oleh emak saya, yang dilihat agak berbeza berbanding masakan kaum Cina yang lain.

“Dari situ saya sedar bahawa saya bukanlah ‘Cina biasa’, dan selepas mencari jawapan, maka saya dapati saya sebenarnya berasal daripada keturunan Cina peranakan atau Baba dan Nyonya,” katanya kepada wartawan Buletin Mutiara, WATAWA NATAF ZULKIFLI dan jurugambar, DARWINA MOHD. DAUD baru-baru ini.

img 4216

Jauh di sudut hati, Seng Kean mengakui bahawa beliau mempunyai berminat yang mendalam untuk memiliki perniagaan sendiri.

“Minat itu akhirnya menjadi titik tolak untuk saya mula mempelajari asas jahitan daripada ibu saudara, tambah pula keluarga saya sendiri turut memberi dorongan dalam memelihara warisan Baba dan Nyonya ini.

“Sebelum mengajar, dia (ibu saudara) meletakkan syarat kepada saya iaitu perlu mempunyai kemahiran melukis, dan kedua perlu lebih bersabar.

“Selepas enam bulan belajar, saya mampu siapkan sepasang kebaya mini, selendang dan sepasang kasut manik yang menjadi identiti kami,” maklum Seng Kean yang berjaya menjual kedua-duanya ke pasaran Eropah dan Singapura.

img 4215

Selepas menempa kejayaan demi kejayaan, Seng Kean akhirnya berjaya mewujudkan sebuah galeri di Solok Mano, George Town yang menempatkan ratusan fesyen baju, batik, kasut dan pelbagai perhiasan lain.

Hari ini, Seng Kean berdiri antara pereka fesyen kebaya yang disegani melalui kepakaran sulaman di samping menerima pengiktirafan daripada Asian International University yang memberikan gelaran Doktor atas sumbangan memelihara warisan dan budaya.

Antara pengiktirafan lain yang diperolehi beliau adalah Malaysia Good Design Awards daripada Malaysia Design Council, di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri yang dimenangi pada tahun 2021, 2022, and 2023.

Anugerah lain yang turut dimenangi adalah Malaysia Mastery of Craft Award (2022), Icon Fashion Designer (2022), Couture Designer of the Year (2022), Hasanah Gold Threads Awards (2023), ASEAN Emerging Designer of the Year (2023) dan anugerah Asia Pacific Luminare Ke-9 (2024) bagi kategori Most Influential Heritage & Culture Art Fashion Designer of the Year.

“Saya juga terpilih sebagai pereka kebaya bagi duta pelancongan Melaka, Fan Bingbing (aktres China) pada Jun lepas.

“Selepas menerima ukuran, saya menghantar tiga pasang busana untuk digayakan dan beliau memilih kebaya merah jambu sewaktu berada di Melaka baru-bru ini,” ulasnya yang terus berhasrat mahu mempromosikan kebaya nyonya pada peringkat antarabangsa.

Dalam menaikkan lagi martabat kebaya, beliau turut memuji Malaysia kerana bekerjasama dengan empat negara jiran seperti Brunei, Indonesia, Singapura, dan Thailand dalam mengemukakan pencalonan kebaya untuk diiktiraf oleh UNESCO dalam Senarai Perwakilan Warisan Budaya Tak Ketara Kemanusiaan bagi tahun 2023.