Anggota penguatkuasa MBPP dilengkapi kamera badan

dsc 9850

GEORGE TOWN – Semua 303 anggota penguatkuasa Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) akan dilengkapi dengan kamera badan bagi meningkatkan lagi ketelusan dan keselamatan pegawainya semasa menjalankan tugas.

Exco Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar & Desa, H’ng Mooi Lye berkata pelaksanaan inisiatif itu adalah sebahagian daripada usaha berterusan MBPP untuk mengukuhkan profesionalisme dan meningkatkan kepercayaan masyarakat terhadap anggota penguatkuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.

“Sebelum ini, terdapat pelbagai tuduhan termasuk kesalahan rasuah, penyalahgunaan kuasa, tindakan kekerasan dan lain-lain telah dilemparkan kepada pegawai penguatkuasaan semasa mereka sedang menjalankan tugas.

“Namun begitu, kami tidak ada bukti untuk menyangkal dakwaan tersebut.

“Jadi, dengan adanya rakaman kamera badan ini, ia boleh dijadikan sebagai bukti yang sah untuk sebarang siasatan, sekali gus dapat mengekalkan integriti dan ketelusan pegawai penguatkuasa semasa menjalankan tugas.

“Selain itu, ia juga dapat membantu melindungi pegawai penguatkuasa dan orang awam daripada sebarang salah faham atau persepsi negatif yang boleh membawa kepada berlakunya sebarang konflik,” katanya pada sidang media dekat Komtar di sini sebentar tadi.

dsc 9843dsc 9859 dsc 9862

Hadir sama, Datuk Bandar MBPP, Dato’ Ir. A. Rajendran; Setiausaha Bandaraya, Cheong Chee Hong serta Ahli Majlis bagi MBPP, Alan Lim Wei Lun dan Nicholas Theng Jie Wey.

Mooi Lye berkata, setakat ini MBPP telah menyediakan 65 unit kamera badan berharga RM950 seunit bagi kegunaan 25 anggota Warden Trafik, unit pengapit dan tunda serta pasukan khas semasa menjalankan operasi penguatkuasaan.

“Pada tahun depan, MBPP akan menambah 50 unit lagi kamera badan dan akan ditingkatkan secara berperingkat bagi memastikan semua anggota penguatkuasa MBPP dilengkapi dengan alat itu pada masa akan datang,” ujarnya.

Pada masa sama, Mooi Lye berkata beliau juga akan membincangkan perkara itu dengan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dan berharap inisiatif tersebut dapat dilaksanakan pada Jun 2025 di Seberang Perai.

“Seberang Perai mempunyai kawasan yang luas dan bilangan anggota penguatkuasaan juga lebih ramai, jadi kami perlu membincangkan perkara ini secara lebih terperinci,” ujarnya.

Sementara itu, Rajendran berkata selain memastikan keselamatan anggota penguatkuasa, inisiatif tersebut juga dapat mengekalkan nama baik MBPP.

“Dengan adanya kamera badan ini, sesiapa sahaja akan berfikir dua kali untuk memlakukan pelbagai perkara yang tidak diingini,” ujarnya.

 

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : SITI NURATIKAH RAHMAT