ANGKASA hasrat jalin kerjasama dengan Kerajaan Negeri bagi rancakkan koperasi perladangan, pertanian dan industri asas tani di Pulau Pinang

Admin

GEORGE TOWN – Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) Negeri Pulau Pinang berhasrat untuk menjalinkan kerjasama dengan Kerajaan Negeri bagi merancakkan lagi koperasi perladangan, pertanian dan industri asas tani di negeri ini.

 

Pengerusi ANGKASA Negeri Pulau Pinang, Mohd. Jamil Othman sebentar tadi mengadakan kunjangan hormat dan perbincangan bersama Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin dekat pejabatnya di sini.

 

“Statistik koperasi perladangan, pertanian dan industri asas tani di Pulau Pinang melibatkan 100 (koperasi) keseluruhannya, di mana 74 daripadanya adalah dalam sektor pertanian dan baki (26) dalam industri asas tani.

 

“Setakat ini terdapat beberapa projek yang dalam pelaksanaan membabitkan koperasi di Pulau Pinang antaranya projek intergrasi penternakan lembu dan kerbau, penanaman nenas dan tanaman cendawan dan kebanyakannya tertumpu di kawasan Seberang.

 

“Malah, koperasi mempunyai sebidang tanah berkeluasan 10 hektar di kawasan Permatang Pauh yang berpotensi untuk dimajukan sebagai kawasan tanaman jagung bijirin. Walau bagaimanapun, kawasan ini perlu dibersihkan terlebih dahulu dan telah ada ahli koperasi yang bersetuju untuk mengusahakannya,” ujarnya.

 

Hadir sama Timbalan Pengerusi ANGKASA Negeri Pulau Pinang, Zubair Mohd. Ghouse, Pengurus Besar Bahagian Perladangan, Pertanian & Industri Asas Tani ANGKASA, Hasnan Mustapha dan beberapa barisan kepimpinan tertinggi koperasi peringkat negeri.

 

Menurut Hasnan, tanaman jagung bijirin kini berpotensi untuk dimajukan memandangkan statistik import ia mencecah RM3.09 juta metrik tan bagi jagung bijirin sahaja dan RM6.67 juta (bahan makanan ternakan).

 

“Projek tanaman jagung bijirin ini telah berjaya dilaksanakan di Kedah. Justeru, di harap dengan kerjasama di antara pihak ANGKASA dan YB Dr. Afif dapat mempromosikan segmen tanaman baharu ini dalam kalangan ahli-ahli koperasi di Pulau Pinang,” ujarnya.

 

Dalam pada itu, Afif yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya menyambut baik hasrat dan cadangan yang diutarakan dan mengesyorkan ANGKASA membentangkan kertas kerja agar perbincangan lanjut dapat diadakan.

 

“Kerajaan Negeri akan melihat kepada cadangan yang diutarakan termasuk penubuhan konsortium di Pulau Pinang bagi menjayakan projek ini.

 

“Kita akan meneliti kertas kerja dan lihat jika ada agensi-agensi terlibat yang boleh turut serta bersama-sama kita untuk menjayakan cadangan ini di Pulau Pinang,” ujarnya.