Angkat tema pahlawan, Pejabat Daerah Barat Daya menang pakaian terbaik

5bf8c04b c820 4631 b94f a4bd880ef4c2

BUAT julung kalinya, Anugerah Pakaian Terbaik telah diperkenalkan sempena Perbarisan dan Perarakan Hari Kebangsaan Ke-67 Peringkat Negeri Pulau Pinang yang berlangsung pada 31 Ogos lalu.

0b9416ab cc9e 4d26 b6bf 042c6a9fb6fa

Anugerah tersebut telah dimenangi oleh kontinjen Pejabat Tanah dan Daerah Barat Daya (DBD) yang melayakkan mereka membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000, piala pusingan dan piala iringan.

Justeru, wartawan Buletin Mutiara, WATAWA NATAF ZULKIFLI dan jurugambar, DARWINA MOHD. DAUD sempat mendapatkan respons daripada Pegawai Daerah DBD, MOHD. HAFIZ ASWAD NADZRI mengenai kemenangan tersebut.

Jelasnya, idea dan konsep pakaian kawad untuk Hari Kebangsaan itu sememangnya datang daripada beliau sendiri yang mahu mengangkat tema kepahlawanan dan keperwiraan hulubalang Melayu era menentang penjajah.

c045a49c 2a6b 43c5 914b 2aebf4a81157

“Kita juga suntik elemen kebudayaan, warisan, patriotik dan kenegaraan serta perpaduan melalui tema yang dikenalkan ini.

“Kami juga mengambil kira perarakan tahun-tahun sebelum ini kerana tidak mahu mengulangi perkara yang sama, jadi kita angkat tema kepahlawanan melayu bersama-sama srikandi yang merupakan salah satu sejarah kemerdekaan Tanah Melayu.

“Peranan wanita dalam kemerdekaan tidak diketepikan, oleh itu tema srikandi turut diangkat kerana golongan wanita juga ada peranan tersendiri.

“Dari segi rekaan pula, kita tidak mahu gabungkan dengan fesyen moden sebaliknya hendak mengekalkan konsep asli,” ujarnya kepada Buletin Mutiara ketika ditemui di pejabatnya, dekat Balik Pulau pagi tadi.

25d5bfa6 38fc 4d7a 84e8 2b7b66818c0b

Dari segi pemilihan warna, kontinjen Pejabat Daerah DBD mengenakan rona warna yang ada pada bendera Malaysia yang turut dilihat mewakili perpaduan kaum.

“Penggunaan warna juga dipilih dengan teliti agar tidak memasukkan elemen yang tiada kaitan dengan warna pada Jalur Gemilang,” ujarnya.

Kontinjen Pejabat Daerah DBD dianggotai seramai 63 orang dan diketuai oleh Ketua Penolong Pegawai Daerah Kanan DBD, Nurshamshinaz Shamsuddin.

Hafiz Aswad dalam pada itu memberitahu bahawa latihan membabitkan semua peserta dijalankan sebanyak enam kali sebelum perarakan sebenar berlangsung.

“Pagi-pagi kita adakan latihan kawad kaki dengan memfokuskan disiplin pergerakan.

“Dari segi pemilihan jumlah peserta pula adalah berdasarkan kriteria penganjur iaitu minimum 60 orang kerana jika kurang daripada jumlah yang ditetapkan, markah akan ditolak,” katanya lagi.

Menutup bicara, Hafiz Aswad memberitahu bahawa pada tahun 2019, kontinjen Pejabat Daerah DBD juga pernah memenangi tempat ketiga bagi pertandingan kawad Hari Kebangsaan.

Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada pasukannya yang telah bertungkus-lumus dan memberikan komitmen penuh sehingga berjaya merangkul anugerah tersebut.