Angkut besi kapal dari laut isu Pusat – KM

Admin

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB 

GEORGE TOWN – Isu sebuah kapal asing dikesan mengambil besi yang dipercayai kapal karam SunVesta dari perut laut di luar perairan  Pulau Pinang hingga dikatakan memusnahkan terumbu laut di sini lebih wajar mendapatkan penjelasan Kerajaan Pusat.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata demikian pada satu sidang media sejurus berakhirnya Mesyuarat Penggal Kedua Persidangan  Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Ke-13 di sini baru-baru ini.

Memetik satu laporan Kerajaan Negeri, Guan Eng menjelaskan, kapal laut yang didaftarkan di Kemboja itu dimiliki sebuah syarikat Malaysia.

Kapal asing itu dikendalikan warganegara China dan seorang jurubahasa warganegara Malaysia.

Laporan itu menyebut, kehadiran kapal tersebut direkodkan di Pelabuhan Lumut, Perak pada 13 Mei lepas, dan direkodkan meninggalkan pelabuhan berkenaan untuk keluar belayar sebanyak lima kali.

Hasil aduan berkaitan, Jabatan Laut Wilayah Pulau Pinang pada 22 Mei lepas menahan kapal itu dalam keadaan penuh dengan muatan besi, di suatu lokasi yang tidak jauh dari Pulau Kendi di sini.

Difahamkan, kapal tersebut ditahan untuk membantu siasatan kerana tidak melaporkan kehadiran kepada Jabatan Laut Pulau Pinang, tidak memiliki Sijil Domestic Shipping License, serta tidak memiliki permit kerja-kerja mengambil besi.

“Kejadian kecurian yang berlaku didapati adalah pada jarak kira-kira 30 batu nautika dari bahagian Selatan Pulau Kendi, iaitu 3 batu nautika di luar kawasan sempadan Pulau Pinang.

“Apabila saya ditanya soalan ini (oleh Pembangkang), saya telah jelaskan bahawa perkara ini bukan di bawah keputusan Kerajaan Negeri… saya menjelaskan di sini (sidang media) kerana saya berjanji menjelaskan kemudian.

“Inilah laporan yang telah saya terima…saya rasa isu ini lebih berkaitan dengan agensi-agensi Kerajaan Pusat,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, sekaligus menjawab isu dibangkitkan beberapa ADUN Pembangkang baru-baru ini.

Tambah Guan Eng, kapal laut itu dikenakan denda maksimum RM100,000 atas kesalahan tidak melaporkan kehadiran di Jabatan Laut Pulau Pinang.

Itu, katanya lagi, tidak termasuk kesalahan tidak memiliki permit serta kesalahan mengambil besi, yang akan dikenakan hukuman berasingan kelak.