Anjur Forum Sungai Bakap jika Joohari menang PRK, ulang Ketua Menteri

Admin
181c9ce2 0e79 4f1b a41c 7a26e7336005 KETUA Menteri

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow sekali lagi mengulangi iltizam politiknya bagi menganjurkan Forum Sungai Bakap sekiranya Calon Perpaduan N.20, Dr. Joohari Ariffin memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) pada Sabtu ini.

Dengan adanya Forum Sungai Bakap, beliau berkata bahawa proses menyuburkan semangat penyertaan demokrasi peringkat akar umbi kian diperkuatkan di Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) tersebut.

“Mungkin (Forum Sungai Bakap) ini adalah konsep yang sesuai untuk membawa rakyat dan wakil rakyat bersama-sama meneliti masalah serta mencari penyelesaian (berkaitan isu setempat),” jelasnya seusai berucap dalam Majlis Penyampaian Surat Kelulusan Pelanjutan Tempoh Pajakan dan Pemberimilikan di sini pada 4 Julai 2024.

Exco Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar & Desa, Jason H’ng Mooi Lye; Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam, Lim Siew Khim; Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen dan Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Dr. Faizal Kamarudin turut sertai majlis tersebut.

Mengulas lanjut, Kon Yeow memberitahu bahawa Majlis Perundingan KADUN pernah dicadangkan semasa beliau menjadi Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalu Lintas dan Tebatan Banjir, tetapi tidak dilaksanakan semasa itu.

Pada waktu itu, Kon Yeow berkata bahawa beliau mahu menghimpunkan semua pemegang taruh seperti Datuk Bandar bagi kedua-dua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), rakyat, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Rukun Tetangga, Persatuan Penduduk dan pertubuhan-pertubuhan tertentu dalam suatu forum runding yang dipengerusikan oleh ADUN sendiri.

“Sebenarnya (Forum Sungai Bakap) ini bukan satu idea yang baharu,” ulasnya yang juga Pengerusi Negeri Parti Tindakan Demokratik (DAP) merangkap Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : SIEW CHIAN EN
Video : ALISSALA THIAN