Anjur karnival himpun usahawan lokal, luar bandar – Rashidi Zinol

RASHIDI Zinol (kiri sekali) diiringi Ong Bee Leng (dua dari kiri) saling mendapatkan maklum balas daripada seorang usahawan wanita lokal yang menyertai Karnival dan Seminar Usahawan Wanita di Sekolah Kebangsaan Sungai Setar di sini pada 11 November 2023.

SUNGAI ACHEH – Seramai 40 usahawan wanita lokal dan luar bandar serta 20 agensi berkaitan berjaya dihimpunkan dalam Karnival dan Seminar Usahawan Wanita di perkarangan Sekolah Kebangsaan Sungai Setar di sini pada 11 November 2023.

Exco Perdagangan dan Pembangunan Keusahawanan & Luar Bandar, Rashidi Zinol berkata tujuan penganjuran program tersebut adalah untuk mengumpulkan data berkaitan usahawan wanita lokal dan luar bandar, di samping usaha untuk mengetengahkan lagi produk mereka.

“Tumpuan pada hari ini adalah menghimpunkan usahawan wanita sekitar KADUN (Kawasan Dewan Undangan Negeri) Sungai Acheh dan kawasan Parlimen Nibong Tebal.

“Sekarang, kita sedang mengumpulkan data termasuk dari PERDA (Lembaga kemajuan Wilayah Pulau Pinang), Jabatan Pertanian Negeri Pulau Pinang, PDC (Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang) dan beberapa agensi lagi.

“Berdasarkan data yang dikumpulkan ini, kita (Kerajaan Negeri) nak menghimpunkan mereka…kita akan cuba bawa masuk ke kompleks kerajaan seperti di Komtar, hospital dan kawasan tumpuan pelancongan (sekitar George Town Tapak Warisan Dunia UNESCO),” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Acheh kepada Buletin Mutiara.

Berucap sebelum itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC), Dato’ Ong Bee Leng memuji inisiatif Pejabat Exco kerana turut memberi tumpuan terhadap agenda pembangunan usahawan dalam kalangan wanita.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ALISSALA THIAN