PANTAI JEREJAK – Polis Diraja Malaysia (PDRM) Balik Pulau muncul sebagai juara Kejohanan Boling Madani Piala Penyelaras KADUN Pulau Betong, diikuti Bendahara (kedua) dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Balik Pulau di tempat ketiga dalam saingan 25 pasukan yang berlangsung Aspiratian Centre, Sunshine Bayan Baru di sini pada 23 November 2024.
Pegawai Penyelasan KADUN (PPK) Pulau Betong, Ahmad Razaaim Azimi berkata kejohanan yang julung-julung kali diadakan itu antara lain bertujuan mempererat semangat muhibah dalam kalangan komuniti penduduk lokal, agensi kerajaan dan institusi pendidikan dengan Kerajaan Negeri hari ini.
“Selain penduduk setempat sekitar KADUN Pulau Betong, kejohanan pada kali ini turut menerima penyertaan daripada PDRM, Jabatan Bomba dan Penyelamat (Bomba), Pejabat Daerah dan Tanah Barat Daya dan Pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah dan MRSM Balik Pulau.
“Sebagai Penyelaras KADUN Pulau Betong, saya selama ini memang berurusan dengan semua agensi ini demi meningkatkan kualiti hidup sejahtera dalam kalangan penduduk di Pulau Betong.
“Justeru, saya berharap program seumpama ini dapat dianjurkan lagi demi menyuburkan semangat muhibah dalam kalangan rakyat berbilang kaum, berlandaskan acuan Malaysia Madani dan Visi Penang2030,” jelasnya kepada Buletin Mutiara.
Di samping itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow; Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid; dan Pusat Khidmat Rakyat Ahli Parlimen Balik Pulau, Dato’ Muhammad Bakhtiar Wan Chik atas sokongan tak berbelah bahagi di sebalik penganjuran kejohanan boling pada kali ini.
Pasukan PDRM Balik Pulau muncul sebagai juara kejohanan selepas berjaya mengumpul 2,180 mata keseluruhan, dengan membawa pulang piala serta RM3,000 wang tunai.
Pasukan Bendahara membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM2,000 selepas berjaya mengumpul 2,114 mata keseluruhan; manakala MRSM Balik Pulau dengan mata terkumpul 1,959 membawa pulang wang tunai RM1,000.
Pasukan Sempoi yang mengumpul 1,761 mata keseluruhan berada pada kedudukan keempat terbaik dengan membawa pulang RM500, sementara tempat kelima adalah pasukan Boba Strike selepas mengumpul 1,744 mata dan membawa pulang RM400 tunai.
Mansor Rejab muncul dengan pemain boling lelaki terbaik selepas berjaya mengumpul 597 mata keseluruhannya; manakala Nor Haida Mohd. Zainol yang berjaya mengumpul 539 mata dinobatkan sebagai pemain boling wanita terbaik.
Teks & Gambar : ZANULFAQAR YAACOB