Anjur majlis bacaan yasin, doakan terbaik untuk Muhammad Hawari

Admin
MAJLIS berkaitan dianjurkan di Balai Seni Lukis Negeri Pulau Pinang semalam demi memperingati Muhammad Hawari Hashim.

GEORGE TOWN – Majlis bacaan yasin dan doa selamat diadakan di Balai Seni Lukis Negeri Pulau Pinang sempena memperingati pendaki negara, Muhammad Hawari Hashim, 33, yang berjaya menawan Gunung Everest pada 19 Mei sebelum dilaporkan hilang.

 

HARYANI Mohamad (tengah) semasa menyampaikan ucapan alu-aluan selaku tuan rumah di sini semalam.

Pengarah Lembaga Muzium Negeri Pulau Pinang (LMNPP), Haryany Mohamad dalam ucapannya merakamkan pengharapan supaya operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang tertangguh sebelum ini dapat diteruskan pada masa hadapan.

“Di mana jua Hawari berada; di alam mana juga Hawari berada, kami doakan yang terbaik untuk dia,” jelasnya dalam ucapan ringkas di sini sebelum menyampaikan sumbangan kepada Safiyyah Tang Xie Li, iaitu isteri kepada Muhammad Hawari.

Pengarah Komunikasi Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Yap Lee Ying yang juga Setiausaha Akhbar Kepada Ketua Menteri; Pengarah Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP), Harry Chai Heng Hua; Pengarah Muzium Negeri Kedah, Suhaidi Shukri; dan Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (PPC), Yeoh Soon Hin yang juga mantan Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif turut menyertai majlis memperingati kegigihan Muhammad Hawari.

 

AZIM Afif Ishak

Serentak pada majlis sama, Ketua Misi Ekspedisi Malaysia ke Gunung Everest, Azim Afif Ishak turut berkongsi pengalaman saat akhir berkomunikasi menerusi radio, sebelum gagal dijejaki oleh sherpa (malim gunung) serta anggota SAR yang terlibat.

“Chakera iaitu malim gunung kepada Hawari beritahu dia telah sampai ke puncak (Everest), 2.30 (pagi waktu tempatan) Hawari telah sampai balik ke Kem 4 (pada ketinggian) 8,000 meter.

“Pada saat itulah ada komunikasi antara Chakera dan Hawari yang mana Hawari mesti dah pintas (Allahyarham) Tuan Awang (Askandar Ampuan Yaacub), baru boleh sampai kembali ke Kem 4.

“Khemah tempat mereka (Muhammad Hawari dan Allahyarham Awang) macam padang bola sepak, hanya ada khemah untuk rehat.

“Semasa turun, dalam 20 meter nak sampai Kem 4, Tuan Awang (Allahyarham) kata dia tak larat dan ‘habis’ (menghembuskan nafas terakhir).

“Semasa (empat) malim hujung di atas dan di Kem 4 saling tukar masa tugasan, semasa itulah mereka sedar yang Hawari tidak ada di khemah tempat dia rehat dan tidur; dan mula memeriksa satu persatu khemah.

“Macam sekarang ini, kita ada kekangan (untuk melakukan SAR) sebab di luar musim yang dibenarkan (untuk sebarang aktiviti di puncak Everest),” jelasnya dalam perkongsian naratif hampir setengah jam.

Tambah Azim lagi, pada musim ‘spring’ akan datang selama tiga bulan bermula April tahun depan, diharap operasi SAR selanjutnya bagi menjejaki Muhammad Hawari dapat diteruskan.

“Kes hilang mengambil masa tujuh tahun sebelum diisytiharkan ‘tiada’, dan segala urusan berkaitan dapat dilakukan selepas tujuh tahun.

“Sebab apa tujuh tahun, sebab ada kes selepas tujuh tahun orang hilang ditemui, termasuk di pergunungan Everest.

“Macam saya kata, kita (SAR) tak letak suatu harapan yang tinggi, ikut adat untuk bertahan hidup pada ketinggian 8,000 meter adalah tipis; tetapi siapa boleh jangka kekuasaan dan ketentuan Allah S.W.T.

“Semoga Hawari dilindungi dan dipelihara, sebab sehingga kini kita tak berjaya jejak Hawari…dalam keadaan apapun Hawari kita harap akan dapat menemui dia (pada SAR akan datang) tahun depan.

“Kita juga akan membuka suatu siaran untuk memberi ganjaran bagi sesiapa yang menjumpai Hawari.

“Hari ini dah terbukti Hawari dah berjaya menawan puncak Everest, bukan sahaja untuk dirinya, malam merupakan OKU (orang kurang upaya) pekak pertama Malaysia berjaya ke puncak Everest, juga OKU pekak pertama di Asia Tenggara dan juga OKU pekak kedua dunia yang berjaya sampai ke puncak Everest,” jelasnya lagi sambil berharap pihak berwajib membukukan kejayaan Muhammad Hawari ini.

 

END