Anjur pertandingan peringkat sekolah demi realisasikan ‘Pendidikan Digital, Aspirasi Negara Madani’

Admin
img 3892 MAJLIS penyampaian hadiah Pertandingan Pendidikan Hijau Digital Sekolah Rendah dan Menengah Tahun 2024 anjuran Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) di Amphenol TCS, Bukit Minyak di sini pada 30 November 2024.

BUKIT TENGAH – Lee Dylan dari Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Lee Chee diumum sebagai juara Pertandingan Pendidikan Hijau Digital Sekolah Rendah Tahun 2024, manakala bagi kategori sekolah menengah dimenangi Lim Yong Peng dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Simpang Ampat.

img 3874
BADERUL Amin Abdul Hamid

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Baderul Amin Abdul Hamid sendiri menyampaikan piala pusingan beserta hadiah wang tunai dan sijil kepada para pemenang berkenaan dalam majlis berkaitan di Amphenol TCS, Bukit Minyak di sini pada 30 November 2024.

Berucap sebelum itu, Baderul Amin antara lain memberitahu bahawa sebanyak 15 daripada 43 buah sekolah yang menyertai program pada kali ini layak memasuki saingan akhir pertandingan.

“Bagi menjayakan program ini, pihak sekolah akan bekerjasama dengan MBSP untuk menggalakkan para pelajar supaya menjadikan program pendidikan hijau digital ini sebagai satu program yang dapat meningkatkan kesedaran sekolah dalam menjayakan (Agenda) Sekolah Hijau.

“Adalah diharapkan Program Penyampaian Hadiah Pertandingan Pendidikan Hijau Digital Sekolah Rendah dan Sekolah Menengah Piala Datuk Bandar Seberang Perai ini mampu memberi impak dalam merealisasikan ‘Pendidikan Digital, Aspirasi Negara Madani’,” jelasnya lagi.

Di samping itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada beberapa penaja program ini iaitu Edu-Green Digital Amphenol TCS dan Karomech Sdn. Bhd..

Terdahulu, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) berkenaan melaksanakan tempoh percubaan bagi pertandingan tersebut bermula pada 22 Julai hingga 31 Ogos lepas, disusuli dengan pertandingan sebenar mulai 1 hingga 30 September 2024.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI