Anjur pesta makanan tampung khidmat kebajikan OKU

Admin

Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF

GEORGE TOWN – Penganjuran Pesta Makanan Amal 2014 oleh Pusat Orang Kurang Upaya Eden (Eden) di sini barubaru ini diharap dapat mengumpulkan dana sejumlah RM250,000 bagi menampung perkhidmatan berterusan badan kebajikan berkenaan.

Dana sempena penganjuran tahun ke-9 tersebut bakal digunakan untuk membantu dalam memberikan perkhidmatan percuma kepada golongan orang kurang upaya (OKU) seperti latihan, asrama, khidmat masyarakat, pengangkutan dan lain-lain.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng yang turut hadir pada majlis tersebut menyeru sokongan orang ramai dari segenap lapisan masyarakat  dan institusi untuk sama-sama menyokong usaha murni Eden dalam membantu dan memartabatkan golongan OKU.

“Ini dalah satu usaha murni yang wajar disokong oleh semua peringkat institusi.

“Mereka (Eden) telah membuktikan bahawa kasih sayang adalah tanpa syarat dengan memberikan perkhidmatan secara percuma kepada golongan berkenaan.

“Terima Kasih kepada yang bermurah hati, penderma, rumah ibadat, organisasi, institusi dan sukarelawan yang telah terlibat secara langsung atau tidak bagi membantu Eden,” ujarnya pada Pesta Makanan Amal 2014 di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Pengerusi Lembaga Pengarah Eden, Henry Tung dan Pengurus Besarnya, Bertie Tye.

Kira-kira 100 gerai mengambil bahagian dalam penjualan pelbagai jenis juadah makanan, alat tulis, cenderamata, hadiah dan kerja kraftangan.

Secara umumnya, badan amal bebas tersebut yang ditubuhkan pada 1993 dibiayai sepenuhnya oleh sumbangan sukarela dan orang awam memerlukan kos sekitar RM80,000 setiap bulan bagi menampung segala perkhidmatan yang disediakan.