Anjur Program Madani Rakyat 2024 Zon Utara, kos lebih rendah berbanding siling peruntukan ditetapkan

Admin
whatsapp image 2024 05 28 at 10.31.43

GEORGE TOWN – Sebanyak RM1,977,163.08 telah dibelanjakan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang bagi penganjuran Program Madani Rakyat 2024 Zon Utara yang berlangsung selama tiga hari dari 3 hingga 5 Mei 2024.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa jumlah itu adalah lebih rendah berbanding siling peruntukan yang ditetapkan oleh Mesyuarat Majlis Kerajaan (MMK) Negeri sebanyak RM2 juta.

“Perbelanjaan keseluruhan yang dikongsi bersama antara Kerajaan Negeri Pulau Pinang selaku tuan rumah dan Kementerian Peneraju (Kementerian Pengangkutan) adalah sebanyak RM3,700,316.48.

“Selain itu, terdapat juga kos asing yang ditanggung oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang bagi membiayai program Kerajaan Negeri seperti aktiviti sukan dan forum agama berjumlah RM127,004.84.

“Sehubungan itu, kos peruntukan keseluruhan yang dibelanjakan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk program ini adalah sebanyak RM1,977,163.08 dengan penjimatan sebanyak RM22,836.92,” jelasnya ketika menjawab soalan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Lim Guan Eng dalam Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Ke-15 dekat sini sebentar tadi.

Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi berkata bahawa penganjuran program tersebut juga telah berjaya menarik kehadiran lebih 285,000 pengunjung.

Menurut beliau, sebanyak 196 perkhidmatan kementerian dan agensi kerajaan telah bekerjasama dalam penganjuran program berskala kebangsaan tersebut.

“Sasaran bilangan pengunjung yang ditetapkan bagi penganjuran selama tiga hari adalah seramai 200,000 orang tetapi kita mencatatkan kehadiran lebih 285,000 pengunjung.

“Jumlah ini juga telah melepasi sasaran ditetapkan dan setakat ini bilangan pengunjung adalah lebih ramai berbanding penganjuran karnival ini di zon-zon yang lain,” katanya yang juga ADUN Padang Kota.

Sementara itu, Kon Yeow menyatakan bahawa pemberian tender kepada syarikat Chilli Hotshoes Asia Sdn. Bhd. bagi penganjuran program tersebut juga dibuat selaras dengan tatacara kewangan dan perolehan berkaitan.

“Syarikat ini dipilih selepas keempat- empat syarikat iaitu dua syarikat tempatan serta dua syarikat luar Pulau Pinang melaksanakan pembentangan masing-masing.

“Pemilihan syarikat ini adalah berdasarkan beberapa faktor termasuk kos yang ditawarkan adalah berpatutan, dalam lingkungan bajet diluluskan MMK dan paling menguntungkan kerajaan.

“Selain itu, syarikat ini juga mempunyai pengalaman setara dalam penganjuran program rasmi kerajaan yang berstatus kebangsaan di samping konsep yang dibentang dan dicadangkan adalah memenuhi kehendak pihak penganjur,” ulasnya lanjut.

Kon Yeow memberitahu bahawa kesuntukan masa persediaan bagi pelaksanaan program tersebut memerlukan pelantikan segera syarikat pengurus acara dilaksanakan.

“Kriteria utama yang ditetapkan dalam pemilian syarikat adalah syarikat yang terpilih haruslah memastikan sekurang-kurangnya menggunakan 50 peratus perkhidmatan daripada vendor tempatan (dalam negeri Pulau Pinang).

“(Dan) semakan terkini mendapati syarikat ini telah mendapatkan perkhidmatan vendor tempatan sebanyak 60 peratus untuk perkhidmatan utama seperti percetakan, fabrikasi reruai, peniaga jualan makanan dan beberapa perkhidmatan yang berkaitan,” katanya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : LAW SUUN TING