Anjur sukan antarabangsa, jenamakan negeri

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI

BATU UBAN – Buat julung kali, Pulau Pinang diberi penghormatan menjadi tuan rumah Kejohanan Angkat Berat Komanwel Ke-14 2013 yang mengumpulkan 500 atlet dari 70 negara seluruh dunia baru-baru ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng dalam pada itu merakamkan ucapan terima kasih ekoran kejayaan memperoleh ‘hak’ menjadi tuan rumah berkenaan.

“Kejayaan mendapat ‘hak’ kali ini juga dibantu ekoran kejayaan penganjuran Kejohanan Angkat Berat Remaja Dunia 2011 di sini sebelum ini.

“Justeru, Pulau Pinang bakal mempraktikkan apa yang terbaik dalam memastikan kejohanan yang menjadi medan persediaan terbaik para peserta dalam menghadapi temasya Sukan Komanwel Glasgow, Scotland pada Ogos 2014 berjalan dengan lancar.

“Juga diharapkan supaya Pulau Pinang mampu melobi lebih banyak penganjuran acara-acara berprestij bagi menjenamakan negeri ini bertaraf antarabangsa,’’ ucapnya pada Majlis Makan Malam Kejohanan Angkat Berat Komanwel Ke-14 2013 di sini baru-baru ini.

Hadir sama , Pengerusi Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM), Datuk Ong Poh Eng dan Presiden Majlis Olimpik Malaysia merangkap Presiden Persekutuan Sukan Komanwel, Tunku Imran Tunku Ja’afar.

Turut menyerikan majlis, Exco Belia dan Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga & Komuniti, Chong Eng, Pengarah Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP), Frederick Tan dan Presiden Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa, Dr. Tamas Ajan.

Pada majlis makan malam berkenaan, hadirin dihiburkan dengan persembahan kebudayaan dari Malaysia, New Zealand dan Samoa.

Dalam pada itu, Menurut Imran, sukan angkat berat lazimnya banyak mengharumkan nama negara di mata dunia sebenarnya.

“Bagi pengetahuan semua, pingat pertama dikutip kontinjen negara pada Sukan Komanwel Victoria, Kanada juga adalah melalui sukan ini,”
ujarnya.