Anti lompat parti bendung demokrasi daripada dirampas – Kon Yeow

Admin

PULAU TIKUS – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menzahirkan perasaan ‘terhina’ apabila Timbalan Presiden Parti Rakyat Malaysia (PRM) menyifatkan Kerajaan Negeri di bawah kepimpinannya sebagai angkuh apabila mengarahkan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mengosongkan kerusi masing-masing pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini.

 

 

Menurut beliau, Kerajaan Negeri Pakatan Harapan (PH) menjunjung proses demokrasi dan undang-undang yang diluluskan peringkat DUN sejak 10 tahun lalu.

 

 

“Saya rasa ‘terhina’ dengan pandangan sedemikian memandangkan individu ini pernah menjadi sebahagian daripada gerakan reformasi yang mahu mereformasikan negara ke arah baharu, lebih demokratik, menghormati hak asasi manusia dan sebagainya.

 

 

“Kita tahu mengapa empat ADUN ini perlu mengosongkan kerusi mereka kerana telah menjadi kenyataan apabila kerajaan (pusat) dijatuhkan (tahun 2020) ekoran ada wakil rakyat yang bertindak melompat parti dan akhirnya satu undang-undang perlu diluluskan di peringkat Parlimen, sedangkan di Pulau Pinang ada undang-undang ini (anti lompat parti) 10 tahun dahulu yang membuktikan kita ada visi serta memandang jauh ke hadapan.

 

 

“(Tindakan) ini mampu membendung demokrasi daripada dirampas oleh pihak-pihak yang mempunyai niat serta kepentingan tertentu, kalau ini (mengosongkan kerusi) dianggap kurang demokratik, adakah Langkah Sheraton dahulu demokratik?” soalnya yang juga Pengerusi PH Pulau Pinang dalam satu sidang media di sini sebentar tadi.

 

 

Ditanya mengenai cabaran Timbalan Presiden PRM untuk memecahkan dominasi Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan PH di Pulau Pinang, Kon Yeow menerimanya dengan terbuka untuk pihak berkaitan bertanding di sini sebagai mana Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU 15) tahun lalu.

 

 

“PRU 15 tahun lalu telah membuktikan tiada siapa yang menghalang PRM meletakkan calon di Pulau Pinang atau di negeri-negeri lain… tiada halangan pun.

 

 

“Sama juga dengan Pilihan Raya Negeri (PRN), sesiapa sahaja boleh meletakkan calon, termasuk calon bebas pun boleh bertanding di mana-mana kawasan, jadi isu tidak demokratik tidak timbul langsung,” tegasnya yang juga Pengerusi DAP Negeri.