Anugerah Kedai Makan Harga Patut, galak pengusaha letak harga patut – Exco

Admin
img 4702 RASHIDI Zinol (dua dari kanan) diiringi tiga lain menyampaikan sendiri plak Anugerah Kedai Makan Harga Patut kepada Md. Ahad Zakaria (kanan sekali) iaitu wakil pengusaha Warung Paya Kelat, Bagan Dalam pada 14 Januari 2025.

BAGAN DALAM – Mula beroperasi pada tahun 2016, Warung Paya Kelat dekat Bagan Dalam yang bersih, indah, menyajikan makan sedap dengan harga berpatutan pada petang tadi menerima Anugerah Kedai Makan Harga Patut daripada pihak Kerajaan Negeri hari ini.

Exco Perdagangan, Pembangunan Keusahawanan dan Luar Bandar, Dato’ Rashidi menyerahkan plak Anugerah Pemenang Kedai Makan Harga Patut kepada Md. Ahad Zakaria, iaitu wakil pengusaha Warung Paya Kelat dekat Bagan Dalam.

“Ini, merupakan kali kedua penyampaian anugerah, selepas kali pertama di Cheruk To’Kun pada hujung bulan Disember tahun lepas (2024).

“Tujuan program ini dianjurkan untuk memberi galakan kepada pengusaha kedai makan menetapkan harga patut.

“Kita (Pihak Berkuasa Negeri) dari semasa ke semasa akan memilih kedai-kedai makan yang dinilai menyediakan makanan sedap dan bersih dengan tawaran harga patut; serta dicadangkan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk diberi anugerah ini,” jelasnya kepada pemberita di warung tersebut di sini pada 14 Januari 2025.

Turut serta, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Pulau Pinang, R.S. Jegan dan Soffian Abbas (Timbalan Pengarah Penguatkuasa KPDN Negeri).

Difahamkan, program pelaksanaan Kedai Harga Patut (KHP) dilancarkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) pada 4 Januari 2010 dengan tujuan menggalakkan kedai-kedai termasuk restoran menawarkan harga patut bagi membantu pengguna mendapatkan barang dan perkhidmatan dengan harga yang lebih rendah.

Pada 31 Januari 2022, program tersebut ditambah baik dengan penglibatan beberapa agensi kerajaan sendiri bagi menganjurkan pelbagai program jualan barangan; sebagaimana diputuskan dalam Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) pada waktu itu.

Pada 11 Januari 2023, kementerian melancarkan Program Jualan Rahmah Madani seiringan dengan pelaksanaan KHP, dengan menawarkan diskaun harga barangan keperluan rakyat sebanyak 10 peratus hingga 30 peratus.

Kerjasama dengan pasar raya yang melaksanakan KHP dilakukan bagi menjayakan Program Jualan Rahmah Madani meliputi kesemua 222 kawasan Parlimen di seluruh negara.

Mengulas lanjut, Rashidi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Acheh berkata pihaknya akan mengeratkan kerjasama dengan KPDN Negeri Pulau Pinang; Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) bagi menggalakkan pengusaha restoran mengamalkan KHP, sekali gus membantu rakyat menghadapi isu kos sara hidup.

Dalam perkembangan berkaitan, Rashidi berkata pihaknya bersama-sama KPDN dan kedua-dua pihak PBT akan melaksanakan operasi pemantauan harga barang keperluan asasi rakyat di pasar raya terpilih dan kedai runcit sempena musim dwi perayaan iaitu Tahun Baru Cina dan Thaipusam yang kian kunjung tiba.

5850d72b 65d2 4a5d 921d be728f07d1ff
RASHIDI Zinol (kiri) diiringi Soffian Abas (tengah) mendapatkan maklum balas berkaitan semasa operasi pemantauan dilaksanakan, daripada pengurus pasar raya mini Econsave Butterworth dekat Jalan Chain Ferry pada petang tadi.

Seusai majlis penyampaian Anugerah Kedai Makan Harga Patut di Warung Paya Kelat, Rashidi turut menyertai operasi pemantauan harga barang yang dianjurkan oleh penguatkuasa KPDN negeri di pasar raya mini Econsave Butterworth dekat Jalan Chain Ferry.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI