Anugerah Sekolah Hijau anjuran MBSP kembali, tawar hadiah sehingga RM2,000

Admin

BERAPIT – Anugerah Sekolah Hijau 2022 anjuran Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) yang bertujuan menggalakkan pengurusan alam sekitar secara holistik dengan menumpukan pengurangan sisa buangan kini kembali lagi setelah dua tahun terhenti akibat pandemik COVID-19.

 

Datuk Bandar MBSP, Dato’ Azhar Arshad berkata, program tersebut sebelum ini dilihat sebagai medium memupuk nilai murni terhadap alam sekitar dalam kalangan warga sekolah serta meningkatkan tahap kesedaran mengenai kepentingan pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar.

 

“Melalui program ini kita (MBSP) menyasarkan kerjasama antara sekolah dengan masyarakat dalam menjayakan pendidikan alam sekitar dapat ditingkatkan dan mampu mewujudkan suasana sekolah yang kondusif bagi melahirkan warga sekolah yang mempraktikkan amalan hidup lestari.

 

“Keseluruhan jumlah sekolah yang menyertai Anugerah Sekolah Hijau kali ini telah meningkat daripada 30 buah sekolah pada 2010 kepada 166 sekolah bagi tahun 2019.

 

“Anugerah Sekolah Hijau telah menampakkan kejayaan, antaranya adalah menjadi sebahagian daripada program kokurikulum sekolah melibatkan aktiviti-aktiviti membuat kompos, menanam sayur-sayuran dan melibatkan diri dalam program khidmat masyarakat,” ujar beliau pada Majlis Pelancaran Anugerah Sekolah Hijau 2022 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Berapit di sini pagi tadi.

Hadir sama, Ahli-ahli Majlis bagi MBSP; Pengetua SMK Berapit, Dainuri Mohd. Rambly dan Pengarah Urusan Continental Automotive Components Malaysia Sdn. Bhd., Carlos Cano.

 

Azhar berkata, antara kejayaan lain Anugerah Sekolah Hijau adalah termasuk mengadakan program upcycle (guna semula) di sekolah dan melatih murid-murid menjadi usahawan serta mencapai kejayaan dalam kempen penjimatan elektrik dan air.

 

“Saya amat berharap dengan adanya pertandingan ini, akan berjaya menarik dan memupuk minat golongan para pelajar dan para pendidik untuk menjadikan aktiviti pemeliharaan alam sekitar sebagai satu budaya,” kata Azhar lagi.

 

Difahamkan, disiplin yang akan dinilai melalui program ini termasuklah kecekapan sumber asli (40 Markah), kebersihan dan penghijauan (18 markah), inovasi dan kreativiti (14 markah), penglibatan digital (15 markah) dan pembentangan (12 markah).

 

Tarikh tutup pendaftaran dalam talian melalui pautan (http://www.pgc.com.myPSC_assessment/login.php) adalah 30 Jun 2022.

 

Manakala penilaian panel ke atas sekolah-sekolah yang menyertai anugerah sekolah hijau adalah pada Julai 2022 sebelum majlis penyampaian hadiah akhir Oktober 2022.

 

Hadiah-hadiah menarik berupa wang tunai bernilai RM300 hingga RM2,000 menanti sekolah yang berjaya.

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD