SEBERANG JAYA – Acara tahunan Anugerah Sekolah Hijau yang melibatkan sekolah rendah dan menengah bahagian Seberang Perai wajar diperluas ke institusi pendidikan lain seperti tadika, kolej dan universiti.

Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jason H’ng Mooi Lye berkata anugerah yang dianjurkan oleh Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) boleh dianggap sebagai sebuah program yang mampan kerana telah berlangsung lebih dari 10 tahun.
“Saya percaya, program sebegini dapat diperluaskan ke institusi pendidikan lain seperti pada peringkat tadika, kolej, malah universiti.
“Kita harus membudayakan pengurusan alam sekitar dalam kehidupan seharian jika kita ingin mencapai matlamat yang lebih besar, seperti pengasingan sisa di punca,” katanya semasa merasmikan Majlis Penyampaian Hadiah Anugerah Sekolah Hijau 2024 di Auditorium, Menara Bandaraya MBSP di sini pada 9 Disember 2024.

Berucap sebelum itu, Datuk Bandar MBSP, Dato’ Baderul Amin Abdul Hamid berkata pentadbirannya sangat menghargai usaha Jabatan Pendidikan Negeri Pulau Pinang dalam menyokong program tersebut.
“Terima kasih juga kepada semua guru serta pelajar yang terlibat dalam membantu MBSP mendepani perubahan iklan serta mengurangkan penjanaan sampah di ketiga-tiga daerah Seberang Perai selama ini,” katanya.


Sementara itu, Carlos Cano yang berucap mewakili Continental Automotive Components (Malaysia) Sdn. Bhd. berkata pihaknya terus komited untuk menjadi rakan strategik kepada MBSP serta menjadi penaja utama Anugerah Sekolah Hijau pada masa hadapan.
Buletin Mutiara difahamkan Anugerah Sekolah Hijau pada kali ini menerima penyertaan 14 buah sekolah menengah dan 40 buah sekolah rendah, dari ketiga-tiga daerah Seberang Perai.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS