Anwar gembira rakyat, pemimpin kekal harmoni hadapi fitnah

Admin
ANWAR Ibrahim (depan, tengah) bersama isteri, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail (depan, kiri sekali) menyambut kedatangan Majimor Shariff (depan, kanan sekali) pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri bersama-sama Timbalan Ketua Menteri I di Guar Perahu di sini baru-baru ini.
ANWAR Ibrahim (depan, tengah) bersama isteri, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail (depan, kiri sekali) menyambut kedatangan Majimor Shariff (depan, kanan sekali) pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri bersama-sama Timbalan Ketua Menteri I di Guar Perahu di sini baru-baru ini.

PENANTI – Ahli Parlimen Permatang Pauh, Datuk Seri Anwar Ibrahim melahirkan rasa gembira kerana pentadbiran Ketua Menteri Pulau Pinang, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng sejak empat tahun lepas berjaya mengekalkan keharmonian rakyat berbilang kaum sungguhpun menerima pelbagai fitnah daripada pembangkang di negeri berkenaan.

Ahli Parlimen Permatang Pauh itu meluahkan perasaan demikian pada satu sidang media ringkas sempena Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri bersama-sama Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mansor Othman baru-baru ini di Jalan Guar Perahu di sini.

Pun begitu, Anwar berkata, pembangkang Pulau Pinang akan terus mengada-adakan fitnah demi memecahkan perpaduan rakyat bersama-sama kepemimpinan Kerajaan Negeri pada musim Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.

“Jika ia (politik fitnah) terjadi, mereka akan mula menyusun strategi bagi meranapkan sokongan kuat terhadap Pakatan.

“Pelbagai bentuk isu akan mereka mainkan. Ini termasuklah agihan dan kedudukan kerusi dalam pilihan raya,” katanya baru-baru ini.

Mansor yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti turut merakamkan penghargaan pada majlis yang dihadiri lebih 5,000 rakyat pelbagai kaum itu.

Keraian tersebut menerima kunjungan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas dan isteri, Toh Puan Majimor Shariff. Guan Eng, Prof. Dr. P. Ramasamy (Timbalan Ketua Menteri II), Datuk Abdul Halim Hussain (Speaker Dewan Undangan Negeri) serta Exco-exco Kerajaan Negeri yang lain turut hadir pada majlis tersebut.

Anwar yang juga Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia berkata, perpaduan rakyat bersama-sama kepemimpinan Kerajaan Negeri sangat penting demi menggagalkan perancangan tidak demokratik pihak pembangkang kelak.

Ekoran itu, katanya, rakyat serta semua kepemimpinan Kerajaan Negeri dinasihatkan supaya tidak mudah melatah dengan isu yang bakal dimainkan UMNO Barisan Nasional (BN) kelak, sebaliknya memelihara kekuatan perpaduan yang sedia ada tersebut.

“Apabila kita tidak melatah, isu yang mereka timbulkan akan mati dan berlalu begitu sahaja,” katanya

MANSOR Othman menghidangkan sajian makanan kepada Anwar Ibrahim.
MANSOR Othman menghidangkan sajian makanan kepada Anwar Ibrahim.