Anwar, Kon Yeow yakin gelombang ‘merah-biru’ kekal menang di Pulau Pinang

Admin
ANWAR Ibrahim (tengah) diapit oleh Ahmad Zahid Hamidi (dua dari kiri) dan Chow Kon Yeow (empat dari kiri) semasa acara kemuncak Majlis Pelancaran Jentera Perpaduan Peringkat Negeri Pulau Pinang di Tapak Ekspo Seberang Jaya di sini pada malam tadi (16 Jun 2023)

SEBERANG JAYA – Ribuan penyokong membanjiri Tapak Ekspo Seberang Jaya bagi menyaksikan Majlis Pelancaran Jentera Kerajaan Perpaduan Malaysia dalam menghadapi saingan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti.

Rata-rata penyokong Pakatan Harapan (PH) memakai pakaian serba serba merah, sementara penyokong Barisan Nasional (BN) pula memakai pakaian serba biru.

CHOW Kon Yeow

Melihat lautan manusia berpakaian serba ‘merah-biru’ di sini, Ketua Menteri ‘Caretaker’, Y.A.B Tuan Chow Kon Yeow berkata, pihaknya berharap gabungan parti politik tersebut dapat mempertahan mandat rakyat bagi menubuhkan Kerajaan Perpaduan Pulau Pinang pula selepas ini.

“Selama tiga penggal Kerajaan Pulau Pinang hari ini mendapat kepercayaan rakyat (iaitu) daripada majoriti pengundi negeri Pulau Pinang.

“Realiti politik hari ini (yang berubah), membolehkan kita (PH) bersama-sama dengan Barisan Nasional bagi mencapai kemenangan bagi penggal keempat (mentadbir Kerajaan Negeri Pulau Pinang), di bawah naungan (Kerajaan) Perpaduan (Malaysia).

“Kalau boleh (kerjasama politik antara PH dan BN dalam PRN ini, kita perlu bekerja keras supaya tidak ada‘hijau’ (pembangkang) di negeri Pulau Pinang; ada ‘merah’ (PH), ada ‘biru’ (BN), tak ada ‘hijau’ (pembangkang),” ujarnya yang juga Pengerusi PH Negeri Pulau Pinang di sini pada 16 Julai 2023.

Dalam perkembangan lain, Kon Yeow turut memuji pentadbiran Perdana Menteri, Dato’ Seri Utama Anwar Ibrahim kerana melantik Timbalan Perdana Menteri I, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebagai Pengerusi Jawatankuasa Transformasi Pendidikan Vokasional (TPV) dalam suatu acara berasingan di Bertam Square pada pagi tadi.

Kon Yeow memaklumkan bahawa pihaknya yakin Ahmad Zahid yang juga Presiden Umno Malaysia mempunyai kemampuan untuk mengubah landskap pendidikan teknikal dan vokasional (TVET) ke arah melahirkan graduan berkualiti, berkemahiran serta mempunyai kebolehpasaran sesuai dengan perkembangan Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) negara termasuk dalam sektor perindustrian di negeri ini.

ANWAR Ibrahim

Acara kemuncak adalah ucapan serta gimik pelancaran Program Bakul Rahmah Peringkat Negeri, yang disempurnakan sendiri oleh Anwar.

Semasa berucap, Anwar yang juga Menteri Kewangan memuji pentadbiran Kerajaan Negeri selama tiga penggal, yang mana menjadi jaguh dalam pelaburan serta menjadi antara negeri paling maju di negara ini.

Kata Ahli Parlimen Tambun, Perak itu lagi, Kerajaan Perpaduan Malaysia yang ditubuhkan pasca PRU15 pada November tahun lepas bukan sahaja mempunyai tanggungjawab dalam memperbaiki teras ekonomi rakyat, bahkan menggagalkan anasir politik pelampau agama yang cuba disemarakkan oleh pemimpin tertentu pembangkang.

Tegasnya lagi, Kerajaan Negeri Kedah, Kelantan dan Terengganu boleh mengecapi kemajuan dari sudut pelaburan dan ekonomi seperti di Pulau Pinang jika tidak lagi dikuasai oleh parti-parti pembangkang Parlimen Malaysia.

Difahamkan, PRN yang kian kunjung tiba melibatkan enam negeri termasuk Pulau Pinang.

Pembangkang, iaitu Perikatan Nasional (PN) yang terdiri daripada Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dan dua sekutunya Parti Pribumi Bumiputera Malaysia (PPBM) menguasai tiga Kerajaan Negeri di Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Manakala, PH yang terdiri daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Amanah Negara (Amanah), dan Parti Tindakan Demokratik (DAP) menguasai tiga Kerajaan Negeri lain iaitu di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan.

Sempena PRN Pulau Pinang yang kian kunjung tiba, gabungan parti PH dan BN akan bersaingan dengan PN bagi 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Selain Anwar dan Ahmad Zahid, turut berpidato di pentas mega malam tadi ialah Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook; Setiausaha Agung PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir.

 

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : SIEW CHIA EN