SUNGAI PINANG – Sehingga 31 Mei 2024, RM3.542 bilion jumlah cukai yang berjaya dikutip oleh pejabat HASil atau Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) di Pulau Pinang adalah positif berbanding sasaran yang ditetapkan bagi tempoh sama tahun ini.
Mengulas perkara itu, Perdana Menteri, Y.A.B. Datuk Seri Utama Anwar Ibrahim berharap agar negeri-negeri lain wajar mencontohi rekod pencapaian kutipan hasil semasa Pulau Pinang.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata demikian dalam sidang media bersama-sama Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow seusai Majlis Perasmikan Menara HASiL Pulau Pinang di sini pada 29 Jun 2024.
“Pulau Pinang (dalam) suku pertama (2024) mencatat jumlah (kutipan hasil cukai) yang melebihi unjuran.
“Jadi, saya minta negeri-negeri lain mengusahakan (kutipan hasil cukai mengikuti unjuran yang ditetapkan) kerana kita (Kerajaan Persekutuan) tidak mahu ada kebocoran dan keciciran,” jelasnya yang juga Ahli Parlimen Tambun, Perak.
Berucap sebelum itu, Anwar memberitahu bahaw prestasi kutipan cukai oleh LHDN di Pulau Pinang adalah melebihi sasaran yang diunjurkan oleh agensi persekutuan tersebut serta wajar dicontohi negeri-negeri lain.
Ketua Pegawai Eksekutif LHDN Malaysia, Datuk Dr. Abu Tariq Jamaluddin pula memberitahu bahawa prestasi pencapaian kutipan cukai pejabat HASiL di Pulau Pinang sehingga 31 Mei 2024 ialah sebanyak RM3.542 bilion iaitu suatu pencapaian yang positif berbanding dengan sasaran kutipan yang ditetapkan bagi negeri Pulau Pinang bagi tempoh yang sama.
“Momentum positif ini akan diteruskan bagi mencapai sasaran tahunan pejabat Pulau Pinang sebanyak RM8.099 bilion,” ujarnya.
Selain Kon Yeow, hadir sama, Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying yang juga Ahli Parlimen Tanjong; Ketua Setiausaha Perbendaharaan merangkap Pengerusi Anggota Lembaga LHDN Malaysia, Datuk Johan Mahmood Merican; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Rosli Isa dan Pengarah Negeri LHDN Malaysia Pulau Pinang, Nasruddin Mat Nasir yang juga Pengerusi
Majlis Perasmian Menara Hasil Pulau Pinang.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS