Apex P. Pinang taja kerusi rekreasi Taman Manggis

Admin

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN – Komuniti Taman Manggis di Jalan Zainal Abidin di sini akan menempuhi kehidupan yang lebih selesa kerana taman mini dekat kediaman mereka bakal dinaiktaraf melalui projek tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Presiden Kelab Apex Pulau Pinang, Lee Kai Eng berkata, pihaknya berminat untuk menaja empat set kerusi meja batu dan enam kerusi sandar batu lain untuk kemudahan rekreasi warga setempat.

Menurut beliau, inisiatif itu diharap dapat membantu warga setempat untuk rehat selepas berjalan atau bersenam di sini.

“Beberapa bangku ini disediakan sebagai keperluan supaya mereka (penduduk) boleh duduk untuk menikmati keindahan malam.

“Inisiatif ini dilakukan sebagai partisipasi kami kepada masyarakat dan Kerajaan Negeri (Pulau Pinang),” ujarnya pada majlis penyerahan berkenaan di sini baru-baru ini.

Difahamkan, kos keseluruhan CSR itu menelan belanja kira-kira RM4,000.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalu Lintas dan Tebatan banjir, Chow Kon Yeow dalam reaksi spontan merakamkan penghargaan kepada NGO tersebut.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri berharap lebih banyak lagi NGO tampil melakukan inisiatif serupa Apex.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Kelab Apex untuk penajaan mereka,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota itu.