Aplikasi MySejahtera, tempoh sehingga 31 Ogos bagi sesuaikan dengan perubahan

Admin

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri menasihati semua premis perniagaan dan pengguna aplikasi ‘Penang Contact Tracer’ atau PGCare supaya menggunakan aplikasi MySejahtera yang dibangunkan oleh Kerajaan Persekutuan.

 

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, Kerajaan Negeri Pulau Pinang mengambil maklum keputusan Kerajaan Persekutuan yang mewajibkan penggunaan aplikasi MySejahtera di setiap premis di seluruh negara dalam masa terdekat.

 

“Saya ingin menasihati semua premis perniagaan dan warga Pulau Pinang untuk bertukar menggunakan aplikasi MySejahtera.

 

“Ini kerana, kita (Kerajaan Negeri) tidak mahu rakyat Pulau Pinang menghadapi masalah sekiranya tidak menggunakan aplikasi MySejahtera,” ujarnya pada sidang media di Komtar hari ini.

SALAH seorang pengguna aplikasi PgCare di Pasar Awam Chowrasta.

Mengulas lanjut, Kon Yeow berharap Kerajaan Persekutuan dapat memberi sedikit masa untuk rakyat di negeri ini bertukar menggunakan aplikasi MySejahtera.

 

“Mungkin sehingga 31 Ogos ini bagi membolehkan semua pihak menyesuaikan diri secara menyeluruh.

 

“Aplikasi PGCare telah memainkan peranan penting dengan membantu Kementerian (Kesihatan Malaysia) melakukan pengesanan kontak dalam usaha memerangi COVID-19.

 

“Malah, ia (PGCare) turut mendapat sambutan baik dalam kalangan rakyat Pulau Pinang dan juga pengunjung yang mengunjungi negeri ini,” katanya yang turut menzahirkan penghargaan kepada pengendali aplikasi atas sokongan menjayakan pelaksanaan penggunaan PGCare sebelum ini.

 

Sebagai rekod, sehingga 12 tengah hari ini, premis perniagaan yang mendaftar dengan aplikasi PGCare adalah sebanyak 36,521, manakala jumlah pengguna yang berdaftar mencecah 1,355,596. Sejumlah 16,484,326 ‘check-in’ direkodkan melalui aplilkasi ini sejak 15 Mei 2020.

 

Kelmarin, Menteri Kanan Pertahanan memaklumkan bahawa Kerajaan Persekutuan melalui Pejabat Peguam Negara bakal mewartakan penggunaan aplikasi MySejahtera di setiap premis di seluruh negara bagi memudahkan proses pengesanan kontak oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, meskipun aplikasi lain telah diguna pakai di peringkat negeri seperti di Pulau Pinang (aplikasi PgCare) dan Selangor (aplikasi Selangkah).

 

Pengecualian hanya diberikan kepada mereka yang berada di kawasan luar bandar atau bandar-bandar kecil yang tidak mempunyai capaian internet, yang mana mereka masih boleh menggunakan rekod secara manual.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : ALISSALA THIAN