Aplikasi PEARL – One Touch Penang rangkumi pelbagai urusan mudahkan rakyat

PADANG KOTA – Aplikasi pintar PEARL – One Touch Penang iaitu aplikasi mudah alih dilengkapi ciri e-wallet yang bakal memudahcarakan aktiviti seharian penduduk Pulau Pinang dilancarkan secara rasmi oleh Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow di sini pagi tadi.

 

 

Menurut Kon Yeow, antara perkhidmatan yang disediakan menerusi aplikasi berkaitan adalah pembayaran bil utiliti, tambah nilai telekomunikasi, tempahan Link Bike untuk kegunaan di George Town, akses mudah untuk perkhidmatan kecemasan seperti polis, bomba, hospital dan ambulans, lokasi AED serta ciri-ciri lain.

 

 

“Aplikasi PEARL – One Touch Penang yang turut dilengkapi dengan komponen untuk mempertingkatkan mutu penyampaian perkhidmatan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) merupakan yang pertama dalam kalangan pihak berkuasa tempatan (PBT) di Malaysia yang menawarkan ciri-ciri e-wallet tersendiri,” ujarnya pada Majlis Pelancaran Aplikasi PEARL – One Touch Penang di Dewan Bandaraya MBPP.

 

Hadir sama, Datuk Bandar bagi MBPP, Dato’ Ar. Yew Tung Seang; Setiausaha Bandaraya bagi MBPP, Dato’ Ir. A. Rajendran; Ahli-ahli Majlis MBPP dan Pengasas serta Pengarah Urusan Kumpulan Managepay System Berhad (MPay), Dato’ Chew Chee Seng.

 

 

Tambah Kon Yeow, aplikasi PEARL – One Touch Penang menjadi batu loncatan terbaik untuk MBPP dan tepat pada waktunya untuk sama-sama bergerak seiringan dengan gagasan Visi Penang2030.

 

 

“Sebagai tambahan, PEARL Wallet ini turut dilengkapi dengan ciri Internet Payment Gateway dan FPX dan dalam tempoh masa terdekat, ia juga bakal dilengkapi dengan sistem pembayaran terbuka untuk semua jenis transaksi melibatkan kad kredit, debit atau kod QR yang terdapat dalam negara.

 

 

“Sistem ini dikuasakan oleh DuitNow dengan kerjasama rakan bank, AmBank Malaysia serta perkhidmatan QR Link to Pay bersama rakan strategik, Mastercard.

 

 

“Nilai tambah tersebut akan membolehkan pengguna PEARL – One Touch Penang memindahkan wang hanya dengan butiran nombor telefon atau nombor kad pengenalan penerima menjadikan PEARL sebaris dengan perkhidmatan e-wallet yang terdapat dalam negara kita,” jelasnya yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi.

 

 

Difahamkan, pelancaran pada hari ini adalah membabitkan fasa pertama pelaksanaan dan seterusnya ia akan dikemas kini secara berperingkat serta dimuatkan secara automatik ke dalam aplikasi berkenaan dari semasa ke semasa, termasuk perkhidmatan letak kereta Penang Smart Parking (PSP).

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : SITI NURATIKAH RAHMAT

Video : ALISSALA THIAN