Aplikasi PGCare penuhi kehendak MKN, dapat sambutan menggalakkan

Admin

GEORGE TOWN – Aplikasi pengesan kontak pintar, PGCare mendapat sambutan amat menggalakkan dengan pendaftaran seramai 168,254 pengguna selepas empat hari dilancarkan.

Perkara tersebut dimaklumkan oleh Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ar. Yew Tung Seang dalam satu sidang media sejurus tamat Mesyuarat Biasa Majlis Bilangan 05 Tahun 2020 secara telesidang pagi ini.

“PGCare adalah pengesan kontak yang mudah dan mematuhi kehendak Majlis Keselamatan Negara (MKN) selain mematuhi kehendak kita (MBPP) selepas membenarkan makan di premis sejak 18 Mei lalu.

“Privacy juga terjamin kerana kita hanya perlu nama dan nombor telefon sahaja bila dine in, maklumat hanya akan dipapar di portal Kerajaan Negeri selama 30 hari sahaja sebelum dipadam sepenuhnya.

“Agensi kerajaan kalau perlukan maklumat, Kerajaan Negeri akan kongsi contohnya kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” jelas Tung Seang lagi.

Sehingga jam 10 pagi ini, seramai 302,685 menggunakan aplikasi tersebut untuk makan di premis manakala 8,400 perniagaan turut didaftarkan.

Telesidang yang berpusat di Dewan Bandaraya MBPP Padang Kota itu turut dihadiri oleh Ahli Majlis bagi MBPP Wong Yuee Harng dan Edward Tan Chiew Choon.

MBPP dalam pada itu, mengalu-alukan pihak berkelayakan untuk mengemukakan cadangan bagi pembangunan semula Kampung Shaik Madar, Air Itam.

Menurut Tung Seang, pembangunan semula kampung tersebut telah dipersetujui dalam satu mesyuarat Jawatankuasa Tetap Perancangan Pemajuan pada 4 Mac lalu.

“Seperti mana kita tahu, kawasan Shaik Madar setiap kali hujan lebat akan mengalami masalah banjir kilat akibat faktor topografi dan bersempadan dengan pertembungan dua sungai.

“Di situ adalah kawasan banjir, jadi kita perlu lakukan sesuatu di tapak tersebut. Ketika ini kita jemput untuk RFP (request for proposal)  dahulu untuk melihat apakah bentuk pembangunan yang dapat dilakukan bersesuaian.

“Ini merupakan satu RFP  jadi kita tidak tetapkan lagi, kita akan menilai. MBPP juga belum menetapkan sama ada cadangan pembangunan Rumah Mampu Milik (RMM) ini adalah untuk kakitangan atau orang awam,” ujarnya lagi.

Difahamkan ketika ini, tanah di lot 2282, 2283 dan 2284 tersebut dengan anggaran lapas ekar mempunyai 100 unit rumah sesebuah dan enam unit kedai.

Dalam perkembangan lain, MBPP akan menurunkan had laju di dalam bandar raya George Town, Tapak Warisan Dunia UNESCO dari 50 kilometer sejam (km/j) kepada 40 km/j.

Jelas Tung seang, perkara tersebut akan dibawa ke peringkat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sebelum diwartakan.

“Tujuan kita adalah untuk memberikan keutamaan dan menjaga keselamatan kepada pejalan kaki dan pengayuh basikal ekoran aliran trafik yang tinggi di kawasan berkenaan.

“Kita akan bekerjasama dengan PDRM (Polis Diraja Malaysia), JPJ dan pada masa yang sama, warden trafik MBPP dan menggunakan kamera litar tertutup (CCTV) untuk tujuan pemantauan,” katanya.

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : MBPP