GEORGE TOWN – Lebih 6,000 peserta daripada 60 buah negara dijangka akan menghadiri penganjuran Asia Pasific Urban Forum 7 (APUF7) yang dijadualkan berlangsung di Setia Spice Konvensyen Centre di sini dari 14 hingga 17 Oktober, minggu hadapan.
Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata, setakat ini sebanyak 6,000 peserta telah mendaftar dan mengesahkan kehadiran mereka melalui atas talian.
“Pada mulanya, kita (Kerajaan Negeri) hanya menganggarkan akan menerima peserta sekitar 5,000 orang sahaja… tapi sehingga hari ini pendaftaran telah mencecah sehingga 6,000 orang dan itu adalah di luar jangkaan.
“Dan saya percaya, hari-hari terakhir ini sebelum penganjuran bermula, bilangan penyertaan ini akan terus meningkat lagi, tempahan beberapa buah hotel juga telah mencecah 100 peratus dan diharap menjelang hari penganjuran masih ada bilik-bilik yang boleh ditawarkan,” ujarnya ketika mengadakan sidang media di sini pagi tadi.
Hadir sama Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Ir. Rozali Mohamud; Dato’ Ir. Addnan Mohd Razali (Setiausaha Bandaraya Majlis Bandaraya Pulau Pinang, MBPP); Mohamed Akbar Mustapha (Pengarah Jabatan Khidmat Pengurusan) dan Nur ‘Aishah Mohd. Norodin (Ketua Penolong Setiausaha Kanan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri).
Penganjuran APUF7 diselaraskan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Urbanise Malaysia,Kerajaan Negeri dan MBPP.
Ia juga turut menggabungkan dua organisasi utama di peringkat antarabangsa iaitu United Nations (UN) Habitat, UN ESCAP serta 100 rakan kongsi dari bandar-bandar yang berdaya tahan di seluruh dunia.
Mengulas lanjut, Jagdeep memberitahu bahawa penganjuran berkaitan juga akan mengumpulkan pemimpin-pemimpin besar dunia antaranya Perdana Menteri Republic Fiji, Josaia Voreqe Bainimarama dan isteri, Armida Salsiah (Setiausaha Eksekutif UN ESCAP) dan tidak asing lagi Dato’ Seri Maimunah Mohd. Shariff (Pengarah Eksekutif UN Habitat).
“Yang lainnya adalah Menteri-menteri dan Datuk Bandar dari India, Bangladesh, Rusia, Afghanistan, Korea, Indonesia, Kiribati dan Laos.
“Manakala, China, Kenya, Thailand, Jepun, Korea, Bangladesh dan Indonesia akan mempamerkan strategi-strategi mereka berhubung solusi bandar, pertukaran teknologi dan pembangunan bandar.
“Antara agenda dan forum yang akan dibincangkan oleh pakar-pakar adalah perancangan bandar dan wilayah, daya tahan bandar, data dan teknologi untuk bandar pintar serta kewangan bandar,” ujarnya lanjut.