Arca unik, mural pada jambatan kereta api tarikan utama Kg. Kuala Mengkuang

whatsapp image 2025 02 28 at 19.03.01 (1) Ibrahim Din merakamkan gambar di hadapan pintu masuk ke Kg. Kuala Mengkuang.

MENJEJAKKAN kaki ke Kg. Kuala Mengkuang dekat Penanti dalam daerah Seberang Perai Tengah (SPT) seakan-akan memasuki sebuah taman indah dengan dihiasi landskap yang serba teratur dan berwarna-warni.

Paling mencuri tumpuan adalah lukisan mural unik bermotifkan flora di sepanjang jambatan kereta api serta beberapa arca menarik yang menjadikan Kg. Kuala Mengkuang sesuai sebagai lokasi untuk ‘Instagrammable’.

Kg. Kuala Mengkuang merupakan salah satu daripada 43 kampung di seluruh negara yang dipilih sebagai Kampung Angkat Madani sekali gus layak menerima peruntukan RM2.5 juta bagi tujuan pembangunan infrastruktur setempat.

whatsapp image 2025 02 28 at 19.02.59 (1)
Mural pada jambatan kereta api yang mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records.

whatsapp image 2025 02 28 at 19.02.57 (1)

Difahamkan, Kg. Kuala Mengkuang yang berkeluasan kira-kira 3 kilometer (km) persegi dihuni oleh sekitar 300 buah keluarga dengan jumlah penduduk seramai kira-kira 1,300 orang.

Pengerusi Majlis Komuniti Kampung (MPKK) Kg. Kuala Mengkuang, IBRAHIM DIN berkata, sebanyak 34 projek pembangunan infrastruktur di bawah program Kampung Angkat Madani telah diluluskan oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM).

“Pada Februari 2024, saya menerima panggilan daripada ICU yang menyatakan bahawa Kg. Kuala Mengkuang dipilih sebagai Kampung Angkat Madani.

“Susulan daripada itu, satu lawatan singkat daripada Ketua Pengarah ICU JPM, Datuk Azman Ibrahim pada Mac 2024 yang mana dalam pertemuan itu saya mengemukakan beberapa cadangan pembangunan infrastruktur yang diperlukan oleh komunit setempat.

“Alhamdulillah, semua projek yang kami kemukakan dipersetujui dan telah diluluskan oleh pihak ICU JPM,” katanya kepada penulis Buletin Mutiara, SUNARTI YUSOFF dan jurugambar, AHMAD ADIL MUHAMAD ketika ditemui sempena wawancara khas dekat Kg. Kuala Mengkuang di sini baru-baru ini.

Naik taraf tebing Sungai Kulim

Ibrahim berkata, projek pertama dicadangkan adalah menaik taraf tebing Sungai Kulim yang merupakan lokasi tumpuan kaki pancing sama ada dari dalam dan luar negeri.

“Kami mahu kawasan Sungai Kulim dan sekitarnya dinaik taraf untuk dijadikan sebagai pusat riadah serta rekreasi bagi menarik kehadiran lebih ramai pengunjung, di samping aktiviti memancing yang kian popular di sini.

“Sejak dahulu lagi, Sungai Kulim memang terkenal dengan aktiviti memancing kerana kaya dengan pelbagai spesies ikan air tawar seperti ikan lampam, baung, keli, talapia, baung, udang galah dan lain-lain yang menjadi sumber pendapatan penduduk setempat.

“Antara skop kerja menaik taraf adalah membina trek joging sepanjang 1.5 kilometer (km) dari Mengkuang Mak Sulong sehingga ke rumah pam Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Pulau Pinang di sini, di samping menyediakan pondok-pondok kecil bagi kemudahan pengunjung dan kaki pancing.

whatsapp image 2025 02 28 at 19.03.00
Arca dan jalan yang dibina oleh JPS Pulau Pinang.

whatsapp image 2025 02 28 at 19.03.02

“Selain itu, ICU JPM juga telah menaik taraf dan membaik pulih kawasan sekitar Sungai Kulim, selain membina sebuah dewan untuk dijadikan sebagai pusat pemindahan sementara (PPS) apabila berlaku bencana banjir,” katanya.

Beliau berkata, projek lain yang turut dilaksanakan adalah membina dan menaik taraf jalan-jalan kampung serta memasang 30 unit lampu jalan untuk manfaat penduduk setempat serta pengunjung yang bertandang.

“Projek terakhir yang kami mohon dalam perbincangan tersebut adalah membina mercu tanda seperti pintu gerbang, arca serta lukisan mural yang unik di sepanjang jambatan kereta api yang merintangi Sungai Kulim.

“Lukisan mural ini dihasilkan dengan kerjasama Universiti Sains Malaysia (USM) yang mana ia telah mendapat pengiktirafan dalam Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai mural pada jambatan kereta api yang terpanjang dalam negara ini,” katanya.

Libatkan 14 rakan strategik

Ibrahim berkata, projek menaik taraf dan mengindahkan Kg. Kuala Mengkuang adalah hasil kerjasama daripada 14 rakan strategik termasuk agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pihak swasta.

“Contohnya projek menaik taraf tebing Sungai Kulim telah dilaksanakan oleh JPS Pulau Pinang, manakala pembinaan arca dan lukisan mural dibuat oleh USM serta beberapa kemudahan kecil lain yang disumbangkan oleh NGO dan pihak swasta.

whatsapp image 2025 02 28 at 19.02.56
Binaan arca dan mercu tanda yang menarik.

whatsapp image 2025 02 28 at 19.02.57whatsapp image 2025 02 28 at 19.02.59whatsapp image 2025 02 28 at 19.03.01

“Malah, pihak Kereta Tanah Melayu (KTM) turut memainkan peranan dengan mempromosikan Kg. Kuala Mengkuang sebagai Kampung Angkat Madani melalui siar raya kepada penumpang mereka apabila kereta api tiba di jambatan kereta api tersebut.

“Kami juga menerima cadangan daripada pihak USM supaya satu papan tanda besar di pasang di tebing Sungai Kulim bagi memudahkan orang ramai mengenali Kg. Kuala mengkuang,” katanya.

Menurut Ibrahim, kehadiran pengunjung ke Kg. Kuala Mengkuang dilihat semakin meningkat selepas beberapa projek naik taraf dilaksanakan dan diserahkan kepada pihak MPKK pada 24 Februari lalu.

“Kalau sebelum ini yang datang cuma kaki pancing tetapi sejak ada pelbagai kemudahan, dapat dilihat kedatangan pengunjung kini kian meningkat terutamanya pada hujung minggu

“Kebanyakan mereka datang adalah untuk beriadah serta bersantai bersama-sama keluarga dan berswafoto di hadapan arca-arca menarik dan lukisan mural yang cantik di sini.

“Kami juga sedang berusaha untuk membaik pulih sebuah kedai makan sedia ada yang kini telah usang untuk kemudahan para pengunjung yang ingin menikmati makanan di tepi sungai,” katanya lagi sambil menambah bahawa semua kos penyelenggaraan infrastruktur tersebut kini ditanggung sepenuhnya oleh pihak MPKK.

Tambahnya lagi, pihak ICU JPM juga telah melancarkan projek pertanian sayur berdaun membabitkan peruntukan RM100,000 dan penanaman tanaman herba di bawah program Kampung Angkat Madani dengan kos RM150,000.

“Sekarang kami buat dua projek iaitu projek tanaman sayur berdaun menggunakan kaedah hidroponik yang dikendalikan oleh Jawatankuasa Kariah Masjid Kg. Kuala Mengkuang.

“Keduanya adalah tanaman herba berbentuk mitigasi yang diusahakan oleh golongan belia di bawah program Kampung Angkat Madani yang mana kedua-dua projek ini berjalan lancar dan sudah berjaya dituai sebanyak dua kali setakat ini,” jelasnya.

Perancangan masa depan

Ibrahim berkata, bagi menarik lebih ramai kehadiran pengunjung pada masa hadapan, MPKK Kg. Kuala Mengkuang merancang untuk mewujudkan sebuah pasar pagi di kawasan berhampiran tebing Sungai Kulim.

“Kami telah mengadakan perbincangan dengan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) untuk pelesenanan, malah pihak JPS Pulau Pinang dan Pejabat Daerah SPT juga telah bersetuju dengan cadangan tapak yang kami kemukakan.

“Cuma selepas ini kami ingin memohon pihak JPS Pulau Pinang untuk membina pagar keselamatan di tebing Sungai Kulim yang akan menjadi lokasi bagi penganjuran pasar pagi kelak.

“Kami juga akan mengadakan lebih banyak promosi mengenai keindahan kampung melalui platform media sosial seperti Facebook, Tik Tok dan juga Instagram,” ujarnya.

Ibrahim berkata, beliau juga mengadakan perbincangan dengan pihak NGO untuk mewujudkan kiosk pada sebelah malam di sekitar tebing Sungai Kulim bagi merancakkan lagi aktiviti di sini.

“Menjadi impian saya juga adalah mewujudkan satu bengkel untuk merancakkan lagi industri memandangkan ketika ini semua aktiviti perniagaan dijalankan di rumah masing-masing.

“Oleh itu, kami cuba memohon kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk membina sebuah bengkel yang dilengkali dengan pelbagai kemudahan termasuk tandas, kedai menjual produk, kedai makan, bengkel membaiki motokar dan sebagainya.

“Setakat ini, kami ada mencadangkan tanah berhampiran padang bola di sini sebagai lokasi pembinaan bengkel tersebut.

“Saya optimis bahawa semua projek yang dirancang ini bukan sahaja dapat menarik kehadiran lebih ramai pelancong tetapi juga dapat membantu meningkatkan sosioekonomi komuniti setempat,” katanya.

Hubungan harmoni

Ibrahim juga bersyukur kerana kerjasama antara MPKK dan komuniti setempat kekal harmoni biarpun terdapat berbezaan dari segi ideologi politik dalam kalangan penduduk kampung.

“Perbezaan politik itu lumrah tetapi yang penting adalah bagaimana kita hendak mengekalkan kerukunan dan keharmonian, dan sudah tentu MPKK sentiasa menjadi sumber rujukan bagi penduduk di sini.

whatsapp image 2025 02 28 at 19.02.58
Beberapa buah pondok berbumbung dibina di sepanjang tebing Sungai Kulim untuk manfaat pengunjung.

“Bagi memastikan hubungan antara masyarakat kekal harmoni, kami selalu menganjurkan pelbagai program terutamanya program bermusim seperti gotong-royong perdana, jamuan hari raya, pertandingan sukan dan banyak lagi.

“Cuma saya ingin menasihati orang ramai terutamanya penduduk di sini supaya bersama-sama menjaga kemudahan yang ada dan melaporkan kepada MPKK sekiranya didapati berlaku sebarang aktiviti vandalisme,” ujarnya.

Menutup bicara, Ibrahim sempat menyatakan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat terutamanya Kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana telah mewujudkan program Kampung Angkat Madani demi kesejahteraan penduduk.

Peranan JPS Pulau Pinang

whatsapp image 2025 02 28 at 19.03.02 (1)
Ir. Siti Norazela Hasan.

Dalam pada itu, Buletin Mutiara turut berkesempatan menemu bual Jurutera Daerah, JPS SPT, IR. SITI NORAZELA HASAN untuk mendapatkan butiran lanjut mengenai kerja-kerja yang dijalankan di sepanjang tebing Sungai Kulim.

Menurut Siti Norazela, JPS SPT telah melaksanakan empat skop kerja membabitkan kos RM199,931.50 menggunakan peruntukan daripada ICU JPM bagi memastikan Sungai Kulim sentiasa terjaga dan selamat untuk sebarang aktiviti.

“Skop kerja yang dijalankan oleh JPS SPT untuk projek Kampung Angkat Madani termasuklah menaik taraf koridor jalan Sungai Kulim sepanjang 1,000 meter (m).

“Kami juga membina sebuah mercu tanda di tebing Sungai Kulim selain kerja-kerja pendalaman Sungai Kulim sepanjang 750m.

“Selain itu, disebablan berlakunya insiden runtuhan tebing yang berulang, kerja-kerja pelindungan tebing Sungai Kulim turut dijalankan dengan membina gabion sepanjang 38m untuk memastikan sungai dalam keadaan bersih dan selamat,” katanya.

Siti Norazela berkata, JPS juga akan menjalankan kerja-kerja pengorekan sungai bagi mengurangkan risiko banjir di Kg. Kuala Mengkuang.

“Kerja-kerja pengorekan sungai merupakan langkah jangka pendek yang hanya dilakukan sekali setahun kerana melibatkan kos yang sangat tinggi.

“Walau bagaimanapun, kami menjalankan penyelenggaraan berkala seperti memotong rumput di tebing Sungai Kulim sepanjang 5km sebanyak enam kali setahun,” ujarnya sambil memaklumkan bahawa ini merupakan kali pertama JPS terlibat dalam projek Kampung Angkat Madani.