SETIAP tahun, ketika Syawal menjelma, kuih raya sering menjadi rebutan dan dicari-cari tidak kira jenis moden mahupun tradisional. Malah, permintaan kuih raya juga meningkat saban tahun tidak hanya untuk mereka yang menyambut Hari Raya Aidilfitri sahaja.
Di tengah-tengah persaingan yang sengit, jenama Arianna Delights mula mencuri tumpuan dan menjadi contoh nyata keazaman serta semangat dalam merealisasikan impian dunia perniagaan kuih raya.
Wartawan pelatih Buletin Mutiara, NURUL HAWA FARAHIN HAMEDDY bersama-sama jurugambar, DARWINA MOHD. DAUD berkunjung ke reruai niaga Arianna Delights untuk bertemu dengan pemiliknya, AZLINA ISHAK.
Meskipun hanya memiliki Sijil Kemahiran Malaysia Tahap Dua sebagai bekal, Azlina memulakan langkah dengan menyertai Program EmpowerNCER – Latihan Kemahiran dan Keusahawanan yang digerakkan oleh Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) pada tahun 2021.
“Sejak belasan tahun lalu, saya memang minat dengan dunia masakan.
“Pengalaman masa kecil ketika membantu ibu membuat kuih raya telah menjadikan saya minat terhadap bidang masakan.
“Walaupun saya pernah mencuba untuk bekerja di beberapa tempat, tetapi akhirnya saya berhenti kerana saya rasa jiwa saya di sini membuat pastri,” katanya memulakan bicara.
Namun, setiap perjalanan ke arah kejayaan, banyak cabaran yang perlu dihadapi Azlina, salah satunya adalah ketidakmampuan memiliki lesen memandu kereta menjadi halangan terbesar dalam perniagaannya.
“Saya ada mendapat permintaan dari beberapa tempat yang agak jauh dari rumah, namun saya mempunyai kekangan kerana saya tidak boleh memandu.
“Jika ada masa, saya akan meminta tolong jiran-jiran yang berkelapangan untuk menghantar pesanan tersebut,” ujarnya sambil mencerita detik-detik yang dilaluinya ketika itu.
Berbekalkan kecekalan dan keinginan unuk berjaya, akhirnya Azlina berhasil menyelesaikan kekangan tersebut dengan bergantung kepada sokongan komuniti setempat yang menjadi pelanggan tetapnya.
“Bermula dari situ, saya membuka sebuah bengkel untuk perluaskan lagi perniagaan.
“(Dan) pada masa sama, saya mula menerima pengiktirafan daripada pelbagai pihak,” ceritanya.
Gelaran Naib Johan Anugerah Usahawan Maya PENBVEX 2021 @Karnival Maya Usahawan Bumiputera Pulau Pinang serta penghormatan mewakili Pulau Pinang ke Expo Malaysia Fest di Singapura tahun lalu telah menjadi pembakar semangat buat Azlina untuk terus berjaya dalam bidang yang diceburi.
Terbaru, beliau diiktiraf sebagai Ikon Usahawan Wanita EmpowerNCER Seberang Perai Tengah bagi tahun 2023.
“Saya harap perjalanan perniagaan saya ini menjadi inspirasi kepada generasi muda kerana saya telah membuktikan bahawa kejayaan adalah milik mereka yang berani berusaha.
“Sebelum (menerima pengiktirafan) itu, saya juga ada mengambil kesempatan untuk belajar dengan pelbagai sumber rujukan dan untuk meningkatkan lagi kemahiran pastri, saya menyertai program EmpowerNCER.
“Terima kasih kepada EmpowerNCER kerana dengan menyertai program ini saya telah belajar banyak benda dari segi strategi untuk mengembangkan lagi perniagaan sekali gus meningkatkan kemahiran saya dalam bidang pastri.” jelasnya lagi.
Kini, usahawan wanita berusia 41 tahun itu telah berjaya membuka peluang pekerjaan kepada sebelas individu, membuktikan impak positif perniagaannya terhadap ekonomi tempatan.
Difahamkan, tiga daripada mereka ditempatkan di bahagian pemasaran, dengan matlamat untuk mempromosikan kedai serta produknya.