Asas masakan bahan organik, berkonsep Timur Tengah keunikan Asiatica

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar: MOHD. HAFIZ TAJUDIN

ASIATICA Palace of Middle East Cuisine.
ASIATICA Palace of Middle East Cuisine.

RUANGAN Jalan-jalan Buletin Mutiara kali ini mencari kelainan dari segi penyediaan masakan dan juga menu.

Sekiranya anda menginginkan suasana yang jauh dari hiruk-pikuk kota, kontemporari dan ala Timur Tengah serta menggunakan bahan-bahan organik dalam hidangan, Restoran Asiatica Palace of Middle East Cuisine (Asiatica) pastinya mampu memenuhi citarasa anda.

Terletak di Pusat Bandar Bertam Perdana, Kepala Batas, restoran yang mula beroperasi pada 26 Disember 2009 itu, ternyata mempunyai keunikkannya tersendiri. Malah, Jalan-jalan Buletin Mutiara turut teruja tatkala melangkah masuk ke ruang restoran tersebut.

Diiringi alunan muzik dan lagu Timur Tengah, restoran yang berkonsepkan Timur Tengah sepenuhnya ini mempunyai tiga ruangan santapan. Ruangan gazebo iaitu ruangan yang terletak di luar restoran, ruangan qibtan iaitu ruangan santapan untuk empat orang dan ruangan Moroccan Coffee House iaitu ruangan santai ala- Morocco.

Restoran Asiatica menyajikan makanan yang bukan sahaja halal, toyyib (terbaik), malah, bahan-bahan masakan menggunakan bahan organik. Selain itu, ia juga turut menyajikan hidangan ‘home-made’ terbaik dengan penggunaan bahan masakan tempatan.

DEKORASI Timur Tengah memenuhi segenap ruang yang ada.
DEKORASI Timur Tengah memenuhi segenap ruang yang ada.

Malah, semua masakan dan hidangan di restoran ini dimasak sempurna tanpa menggunakan ketuhar gelombang mikro, tanpa monosodium glutamat (MSG), tanpa translemak, tanpa bahan pengawet dan perasa dan tanpa warna tiruan.

Menurut salah seorang pekerja, pemilik restoran, Puan Noreda Hamid amat menitikberatkan pemilihan bahan-bahan masakan. Malah, semua bahan-bahan masakan tersebut mestilah organik dan bebas bahan-bahan tambahan tiruan dan dimasak mengikut sukatan sempurna.

Jalan-jalan Buletin Mutiara kali ini berkesempatan mencuba beberapa hidangan yang bukan sahaja mendapat sambutan, malah, turut menjadi hidangan utama di restoran tersebut.

Antaranya hidangan pembuka selera, Syrian Apple Salad, iaitu campuran koktel buah epal hijau, epal merah, kismis sultana hitam dan krim ‘mint’ yang masam-masam manis. Tadzizki salad atau lebih dikenali sebagai garden salad turut menjadi pilihan.

Selain salad, anda boleh mencuba rangkaian sup ala-Mediterranean antaranya sup lobak merah dan lemon dan sup Garbazizo.

ANTARA hidangan yang mendapat sambutan pengunjung Asiatica
ANTARA hidangan yang mendapat sambutan pengunjung Asiatica

Bagi hidangan utama pula, terdapat pelbagai pilihan yang pastinya sedap dan terbaik. Jalan-jalan Buletin Mutiara berkesempatan mencuba Shish Tawook iaitu sejenis hidangan Lebanon yang dimakan bersama isi ayam organik yang diperap bersama rempah pilihan.

Bagi yang menginginkan kelainan anda boleh mencuba rangkaian sandwic dan roti seperti A’jatal Dajaj, Greek Chicken Kebobs, Asiatica Arayes, Mussakka, Piza Tandoori Marsala dan Piza Minya Hawaian yang pastinya menjanjikan kenikmatan hidangan dan rasa yang tidak dapat dilupakan.

Sebagai hidangan pencuci mulut, pengunjung boleh mencuba Asiatica crème Caramel, Asiatica Ice Cream dan kek Asiatica Muffin Cheese dengan harga yang berpatutan.

 

WAKTU OPERASI
Setiap hari (11 pagi – 11 malam)
No. 6C, Tingkat 2, Jalan Dagangan 3, Pusat Bandar Bertam Perdana, Kepala Batas.
Telefon : 04 – 578 0675
Sedia menerima tempahan.