ASF: Isu pampasan dimuktamadkan dalam masa terdekat, Timbalan Menteri beritahu Kon Yeow

Admin
CHAN Foon Hin (depan, kanan) dan Ketua Menteri (depan, kiri) dalam sidang media berkaitan di Pusat Operasi ASF Perkampung Valdor pada 19 Februari 2023.

BUKIT TAMBUN – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan telah mengetengahkan perihal pampasan wajar kepada para penternak yang terjejas dek penularan Demam Babi Afrika (ASF) dan akan dimuktamadkan pada peringkat Kementerian Kewangan dalam masa terdekat.

Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Chan Foon Hin berkata demikian dalam sidang media bersama-sama Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow dan Pengarah Perkhidmatan Veterinar (JPV) Negeri Pulau Pinang, Dr. Saira Banu Mohamed Rejab di Pusat Operasi ASF dekat Balai Raya Perkampungan Valdor di sini pada 19 Februari 2023.

“(Perihal pampasan kepada penternak terbabit) ini, saya telah banyak kali berbincang dengan Kementerian Kewangan, dan saya dimaklumkan sudah tersedia, cuma belum nampak secara hitam putih.

“Kenyataan rasmi (peringkat kementerian) akan dibuat…saya rasa dalam masa terdekat,” respons beliau sambil memohon kepada kelompok penternak berkenaan supaya bersabar.

Di samping itu, Foon Hin yang juga Ahli Parlimen Kota Kinabalu, Sabah turut mengulas mengenai cadangan menyegerakan fasa endemik ASF memandangkan ladang-ladang tertentu dalam tempoh kira-kira sebulan sudah mencatatkan negatif wabak tersebut.

“Mengenai permintaan untuk masuk ke fasa endemik ASF di Pulau Pinang, saya tidak boleh memberikan kata putus sekarang kerana ia melibatkan (cadangan) perubahan perkara dasar.

“Ini kerana, (cadangan menyegerakan pelaksanaan fasa endemik ASF) bukan isu Pulau Pinang sahaja, tetapi isu keseluruhan negeri di Malaysia.

“Kalau ikut dasar DVS (Jabatan Perkhidmatan Veterinar), ladang yang telah diuji dan positif, caranya satu sahaja iaitu dengan melupuskan ternakan bagi mencegah rebakan wabak.

“Selepas habis proses pelupusan, ia perlu mengambil masa selama 80 hari, baru boleh beroperasi semula,” ujarnya.

(Dari kiri) KETUA Menteri, Chan Foon Hin, Dr. Saira Banu Mohamed Rejab dan seorang individu lain semasa melawat salah sebuah ladang ternak babi di Kampung Selamat, SPU menjelang tengah hari tadi.
SESI temu bincang dan dialog antara para penternak babi dan Chan Foon Hin serta Ketua Menteri di Kampung Selamat tadi.

Sementara itu, Kon Yeow yang juga Exco Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi memberitahu pemberita bahawa menjelang tengah hari tadi turut diadakan sesi temu bincang antara para penternak sekitar Daerah Seberang Perai Utara (SPU) terutama di Kampung Selamat dengan Foon Hin.

Sehubungan itu, Kon Yeow berkata bahawa pihaknya berharap dialog tersebut dapat membantu Kementerian merancang hala tuju pengurusan wabak ASF di negara ini.

“Isu-isu yang dibangkitkan (dalam dialog bersama-sama penternak) menuju kepada hala tuju pengurusan wabak ASF di Malaysia yang mana Timbalan Menteri (Foon Hin) telah ambil maklum dan akan membawa isu-isu ini untuk pertimbangan selanjutnya.

“Isu kedua adalah mengenai ‘ex-gracia’ kepada penternak-penternak, yang mana ternakan mereka dilupuskan, memang Kerajaan Persekutuan ada suatu pakej tetapi tadi ada juga suatu permintaan daripada penternak untuk menimbang pemberian ex-gracia juga kepada babi-babi kecil yang sebelum ini bukan dalam pakej berkenaan (untuk mendapat pampasan wajar),” ulasnya yang juga Ahli Parlimen Batu Kawan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut memberitahu bahawa pentadbirannya turut akan mempertimbang cadangan tukar guna status tanah pertanian kepada tanah perindustrian, sekiranya ada cadangan tersebut pada masa hadapan di bekas tapak ladang ternak babi.

“(Proses mempertimbang tukar guna status tanah pertanian kepada industri sekiranya ada permohonan daripada pemilik ladang babi) akan menyusul selepas wabak (ASF) ini diuruskan,” respons beliau lagi.

ADUN Jawi, Jason H’ng Mooi Lye dan ADUN Bukit Tambun, Goh Choon Aik turut sertai sidang media tersebut di sini.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : SIEW CHIA EN
Video : SITI NURATIKAH RAHMAT