GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa beliau yakin bahawa masa depan pembangunan dan ekonomi rakyat Pulau Pinang kian cerah apabila aspirasi Kerajaan Negeri hari ini adalah selari dengan hala tuju pentadbiran Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan.
Beliau yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi itu berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Padang Kota di Lee Sih Chong Soo dekat Jalan Burma pada 15 Februari 2024.
“Memandangkan Kerajaan Negeri hari ini adalah sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan peringkat Persekutuan, oleh itu saya percaya masa depan Pulau Pinang akan lebih cerah,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan di sini tadi.
Menganggap Pulau Pinang telah pulih sepenuhnya daripada pandemik COVID-19 ketika ini, Kon Yeow berkata bahawa ekonomi negeri juga berada pada tahap terbaik yang mana dalam beberapa tahun kebelakangan ini menyaksikan Pulau Pinang banyak menerima pelaburan.
Difahamkan, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) pernah mendedahkan bahawa Pulau Pinang mencatatkan RM13.7 bilion dalam pelaburan pembuatan yang diluluskan pada Januari hingga Disember 2022 melibatkan aliran masuk 135 projek serta dijangka menjana 15,752 peluang pekerjaan baharu di negeri ini.
Agensi persekutuan tersebut turut mendedahkan Pelaburan langsung asing (FDI) dicatatkan sebanyak RM9.7 bilion atau 71 peratus daripada aliran masuk pelaburan pembuatan bagi tahun 2022 yang mana baki RM4 bilion atau 29 peratus adalah pelaburan langsung domestik (DDI).
Hal ini menjadikan Pulau Pinang penyumbang kedua tertinggi, iaitu meyumbang 16 peratus pelaburan pembuatan diluluskan dalam negara tahun lepas.
Mengulas lanjut, Kon Yeow menyatakan bahawa kebersamaan para pemimpin Kerajaan Negeri sahaja adalah tidak memadai bagi memakmurkan ekonomi rakyat Pulau Pinang melainkan perlu sokongan yang tidak berbelah-bahagi daripada sekalian penjawat awam serta kakitangan agensi kerajaan berkaitan.
Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, Dato’ Law Choo Kiang; Timbalan Ketua Menteri II, Jagdeep Singh Deo; Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen; Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam, Lim Siew Khim; Exco Perumahan dan Alam Sekitar, Dato’ Seri S. Sundarajoo; Timbalan Menteri Kewangan II merangkap Ahli Parlimen Tanjong, Lim Hui Ying; ADUN Batu Lancang, Ong Ah Teong, ADUN Pengkalan Kota, Wong Yuee Harng dan veteran politik, Tan Sri Lim Kit Siang antara barisan pemimpin negeri yang hadir pada majlis rumah terbuka tersebut.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD
Video : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI