BAGAN DALAM – Majlis Perbandaran Seberag Perai (MPSP) terus memperkasakan masyarakat dengan menggalakkan penglibatan mereka dalam peringkat membuat keputusan menerusi pelbagai program pembangunan.
Terkini, pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan menganjurkan program Aspiring Seberang Perai Photography Awards 2018 (ASPP Awards) untuk memberi peluang kepada komuniti khususnya penduduk Seberang Perai menonjolkan bakat mereka melalui seni dan fotografi.
Yang di-Pertuanya, Dato’ Sr. Rozali Mohamud berkata, program berkenaan bukan sahaja mampu memperkenalkan MPSP di mata dunia malah dapat merancakkan lagi perkembangan pelancongan di negeri ini.
“Tema yang dipilih untuk program kali ini adalah ‘My Sungai Perai’ yang mana peserta dibawa untuk meneroka potensi sungai daripada aspek habitat semula jadi, warisan, kebudayaan, flora dan fauna, sosioekonomi serta makanan tempatan di sepanjang Sungai Perai melalui aktiviti fotografi.
“ASPP Award kali ini menerima sebanyak 1,653 penyertaan bagi empat kategori iaitu profesional, warga Seberang Perai, pelajar sekolah menengah dan media sosial.
“Manakala fotografi yang layak dipertimbangkan adalah seperti Hutan Pelajaran Air Hitam Dalam, Jeti Nelayan kampung Terus, pesisiran sungai sepanjang Taman Sri Murni dan Jambatan Sungai Dua, pesisiran Sungai Perai, Seberang Jaya, Jambatan Chain Ferry dan kampung Nelayan Ujong Batu,” ujarnya semasa berucap pada majlis penyampaian ASPP Awards 2018 dekat Jalan Jeti Lama, Butterworth, semalam.
Turut hadir, Ahli-Ahli Majlis bagi MPSP, Dekan Fakulti Reka Bentuk & Senibina Universiti Pertanian Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Osman Mohd. Tahir; Pengarah Projek Butterworth Think City Sdn. Bhd., Murali Ram; Pengarah Urusan Spirit Of Perai Sdn. Bhd. Lar. Amos Ng serta ramai lagi.
Penganjuran kali ini menyaksikan Loh Hooi San mengungguli acara bersebut apabila berjaya merangkul Anugerah Khas ‘Photo of The Year’ selain memenangi tempat pertama bagi kategori warga Seberang Perai sekaligus berjaya membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM1,200 berserta sijil penyertaan.
Johan bagi kategori profesional pula adalah milik Chuah Pei Juan yang berjaya membawa pulang wang tunai berjumlah RM1,000 manakala Ong Lay Hong (tempat kedua) dan Lim Lean Eng (tempat ketiga) yang mana masing-masing menerima hadiah berjumlah RM800 dan RM600.
Bagi kategori pelajar sekolah pula dimenangi oleh Ong Chin Wen (Johan), Tang In Han (tempat kedua dan ketiga) manakala kategori Instagram pula menyaksikan johan menjadi milik Lim Kar Huat selain Low Chia Yong (tempat kedua) dan Lim Lean Eng (tempat ketiga).
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD