ASPP Awards 2020 kembali dengan tema #MyGreenSeberangPerai

Admin

SEBERANG JAYA – Aspiring Seberang Perai Photography (ASPP) Awards anjuran Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) kembali lagi pada tahun ini dengan tema #MyGreenSeberangPerai.

Datuk Bandar MBSP, Dato’ Sr. Rozali Mohamud berkata, penganjuran program berkenaan bertujuan memberi peluang kepada komuniti untuk berkarya melalui fotografi, selain menggalakkan aktiviti pelancongan di Seberang Perai.

“Walaupun MBSP bukan organisasi yang berorientasikan perniagaan tetapi kita tetap memberikan perhatian kepada sektor pelancongan sebagai salah satu usaha untuk menjadikan Seberang Perai sebagai bandar bersih dan hijau.

“Kedatangan pelancong akan meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat untuk terus menjaga kebersihan di Seberang Perai selain mampu menjana pendapatan bagi golongan B40,” ujarnya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Penuh dekat Ruang Media Menara Bandaraya, di sini pagi tadi.

Hadir sama, Ahli-Ahli Majlis bagi MBSP; Setiausaha Bandaraya MPSP, Ir. Rosnani Mahmod serta ketua-ketua jabatan MBSP.

Tahun ini, sebanyak lima kategori dipertandingkan iaitu profesional; penduduk dilahirkan di Seberang Perai; pelajar sekolah menengah (seluruh Seberang Perai); Timelapse Living In Old Town; serta penyertaan media sosial (Instagram).

Tiga komponan akan dinilai iaitu Green Tourism & Events, Trees and Greening Effort dan Green Networks & Parks.

Difahamkan, tarikh penyertaan bermula hari ini (20 Februari) hingga 20 Mei 2020.

Borang penyertaan dan maklumat lanjut berkaitan ASPP Awards 2020 boleh di muat turun di laman web http://www.mbsp.gov.my atau www.spiritofperai.my.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : LAW SUUN TING