Astaka Selera Taman Tun Sardon berubah wajah

Admin

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

KEADAAN Astaka Selera Taman Tun Sardon yang lebih selesa dan bersih.
KEADAAN Astaka Selera Taman Tun Sardon yang lebih selesa dan bersih.

SERI DELIMA – Kesungguhan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, R.S.N Rayer dalam membangunkan prasarana dan sosioekonomi penduduk di Taman Tun Sardon ternyata membuahkan hasil.

Buktinya Astaka Selera Taman Tun Sardon siap dinaiktaraf sejak Januari lalu kini menerima kunjungan pengunjung sebanyak dua kali ganda berbanding sebelum ini.

“Usaha menyerikan dan menambahbaik yang menelan belanja lebih RM40,000 ini bukan sahaja mewujudkan suasana yang kondusif, malah, mampu menjana pendapatan peniaga dengan lebih baik,” ujar R.S.N Rayer kepada Buletin Mutiara di sini baru-baru ini.

Malah, beliau percaya dengan penambahbaikan di astaka tersebut, ia juga mampu ‘menaikkan’ selera para pengunjung yang ingin menikmati keenakan makanan yang sememangnya tidak dapat dipertikaikan lagi.

Dalam pada itu, bagi pengusaha T.T.S. Cafe yang hanya ingin dikenali sebagai Nazari, beliau menyatakan bahawa penambahbaikan tersebut adalah yang pertama dilakukan sejak 1982.

Bagi seorang peniaga yang telah menjalankan perniagaan sejak 20 tahun lalu di sini dan hanya ingin dikenali sebagai Balkis menyatakan bahawa keadaan kini telah berubah ke arah kebaikan.

“Kalau dulu depa (pengunjung) mai (mari) beli bungkus, la ni (kini) depa mai makan sini, lagi selesa kata depa,” ujarnya.

Di samping penyediaan 115 set meja dan kerusi, pembaikan siling dan tiang, turut dilaksanakan adalah beberapa kelengkapan kemudahan tambahan kepada 26 peniaga di sana.