Astaka Tanjung Bunga terima kunjungan menggalakkan

ASTAKA Tanjung Bunga yang siap dibina semula menggunakan peruntukan Kerajaan Negeri telah memulakan operasinya secara penuh mulai 8 Oktober lalu.

 

Wartawan Buletin Mutiara, WATAWA NATAF ZULKIFLI dan jurugambar, DARWINA MOHD. DAUD dalam tinjauan semalam mendapati kesemua 34 unit gerai telah disewa oleh peniaga.

 


Bagi peniaga nasi lemak, MOHAMED ASRI MOHAMED ISMAIL yang sudah berniaga di situ selama 20 tahun berkata bahawa perniagaan di astaka baharu mendapat sambutan yang menggalakkan.

 


“Saya mulakan perniagaan dari jam 10 pagi hingga 10 malam, kehadiran pengunjung memang baik sekali terutamanya pada jam 12 tengah hari sampai 2:30 petang dan sambung semula 6 petang hingga 10 malam.

 

 

“Sambutan baik ini diharap dapat membantu kami untuk mencari rezeki bagi menampunb kenaikan kos sewaan, tetapi syukur untuk tiga bulan pertama ini, kami yang merupakan penyewa lama dikecualikan (bayar sewa)” ujar Mohamed Asri.

 


Peniaga bubur, CHRISTINE NEOH LAI SIM turut memberikan reaksi positif mengenai kehadiran pengunjung ke astaka baharu terbabit.

 

 

“Respons daripada pengunjung sangat baik, ada yang mula berkunjung seawal jam 7:30 pagi terutamanya warga emas.

 


“Walaupun kehadiran amat menggalakkan tetapi penting untuk kami memastikan kualiti makanan dan layanan diberikan adalah pada tahap yang terbaik bagi mengelakkan sebarang aduan yang boleh menjejaskan perniagaan,” jelasnya.

 


Wakil pihak pengurusan dalam pada itu memberitahu bahawa sambutan diterima disifatkannya sebagai ‘tidak diduga’.

 


“Akibat daripada itu, kami yang menguruskan jualan air ada kalanya berdepan kelewatan sedikit.

 

“Selain itu, kami juga mengalami kekurangan kakitangan yang menyebabkan berlaku sedikit kelewatan dari segi penyediaan makanan tetapi pelanggan boleh faham dengan situasi ini.

 


“Dari segi maklum balas pula, ramai yang kata mereka akan datang lagi, sukakan suasana terbuka, bersih di samping pokok-pokok yang ditanam untuk mengindahkan kawasan sekitar,” katanya.

 

 

Bagi pelanggan THUM AH MOOI pula berkata dia sanggup datang dari Pulau Tikus setelah mengetahui Astaka Tanjung Bunga sudah mula beroperasi.

 

 

“Sangat bersih dan selesa, selalunya makan pagi di Pulau Tikus sahaja tetapi hari ini datang cuba di Tanjung Bunga (astaka),” maklumnya yang mencuba nasi itik di salah satu gerai di sini.

 

 

Pekerja warga India yang mahu dikenali sebagai DINESH juga sependapat dengan peniaga lain selepas melihat sambutan pelanggan yang menggalakkan.

 

 

Katanya, pada hunjung minggu gerainya yang menjual mi goreng dan masakan panas lebih ramai dikunjungi.