Atlet catur kebangsaan sandaran Pulau Pinang dapat pingat

13b53613 7544 43c0 9812 2c374531e7dd

CABARAN Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak XXI 2024 sudah bermula dan kontinjen Pulau Pinang antara negeri yang mempertaruhkan atlet bagi sukan catur.

 

Sebelum memulakan cabaran, wartawan Buletin Mutiara, WATAWA NATAF ZULKIFLI sempat berhubung dengan tiga atlet catur wanita yang menggalas cabaran tersebut.

13b53613 7544 43c0 9812 2c374531e7dd

Pasukan catur Pulau Pinang sudah semestinya meletakkan harapan besar kepada SIM JIA RU, 19, yang merupakan pemenang pingat gangsa pada Sukan SEA Vietnam 2021.

 

Jia Ru sangat teruja untuk menyertai SUKMA pada kali ini, sungguhpun mempunyai harapan cerah namun dia tidak memandang enteng cabaran para peserta lain.

 

“Persiapan saya kali ini juga agak mencabar, masa dibahagikan untuk berlatih dan belajar.

 

“Tetapi saya tidak boleh putus asa, perlu kuatkan semangat.

 

“Ahli keluarga dan rakan-rakan atlet daripada sukan lain menjadi inspirasi serta pembakar semangat untuk bertanding seterusnya memenangi pingat,” ujar graduan Sekolah Antarabangsa Dalat itu kepada Buletin Mutiara.

308ac4b2 20f5 4669 9dec d22194fad8d3

Tidak ketinggalan, NURUL AKMA QUZAINA KHAIROLHISAL, 19, yang menuntut di Kolej Matrikulasi Pulau Pinang (KMPP).

 

“SUKMA sememangnya menjadi salah satu sasaran dalam karier saya bagi sukan catur ini.

 

“Saya bertambah semangat apabila ayah saya memberikan inspirasi kekuatan dan berdasarkan pertandingan sebelum ini yang menunjukkan peningkatan prestasi,” katanya yang mempunyai 10 tahun pengalaman dalam sukan catur.

a2c27fbf 8008 44de 9663 ec1b723acba8 (1)

L.DIVYADARRSHINI, 19, dalam pada itu berharap sukan catur menjadi antara penyumbang pingat emas kepada kontinjen Pulau Pinang.

 

“Ini merupakan kali pertama saya dapat bertanding dalam SUKMA dan saya berbangga dapat wakil Pulau Pinang.

 

“Kalau boleh memang mahu Pulau Pinang ungguli sukan ini dan muncul juara, lagipun saya sudah sembilan tahun terlibat dalam sukan ini,” jelas pelajar yang sedang menunggu tawaran memasuki universiti.

 

Buletin Mutiara mengucapkan selamat maju jaya kepada pasukan catur Pulau Pinang di SUKMA XXI..!