Atlet kanu negeri kembali teruskan latihan

Admin

TANJUNG BUNGA – Skuad kanu negeri disarankan supaya memanfaatkan sesi latihan yang dilaksanakan bagi mengekalkan momentum kecergasan yang optimum. 

 

Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee berkata, walaupun tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) telah tamat, para atlet perlu meneruskan sesi latihan. 

 

SOON Lip Chee (depan, dua dari kanan) ketika hadir ke Pusat Kegiatan Sukan Air Tanjung Bunga di sini.

 

“Kecergasan paling utama, walaupun sepanjang PKP latihan agak terhad tetapi sebagai atlet perlu sentiasa bersiap sedia. 

 

“Sasaran pastinya untuk menyertai Sukan Malaysia nanti atau apa-apa jua kejohanan termasuk di pentas antarabangsa. 

 

“Jadi, perlu memastikan disiplin diri yang tinggi dan sentiasa berada pada tahap kecergasan yang optimum melalui sesi latihan yang dijalankan,” ujarnya pada sesi lawatan ke Pusat Kegiatan Sukan Air (PKSA) Tanjung Bunga dekat sini, petang ini. 

 

Lip Chee, meluangkan masa kira-kira 15 minit bersama-sama atlet sukan kanu negeri bagi meninjau sesi latihan yang memasuki hari kedua hari ini di PKSA Tanjung Bungah. 

 

SOON Lip Chee (dua dari kanan) meninjau keadaan gimnasium di sini.

 

Selain itu, Lip Chee yang diiringi Penyelia PKSA Tanjung Bunga, Ahmad Firdaus Yusoff dan Pegawai Pembangunan Sukan MSNPP, Noor Falissa Shabudin turut dibawa meninjau keadaan gimnasium di sini yang memerlukan pembaikan. 

 

Turut sama, Pengarah Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP), Harry Chai Heng Hua. 

 

Sementara itu, jurulatih skuad kanu negeri, Muhd. Salleh Hashim ketika ditemui memaklumkan bahawa anak-anak buahnya masih meneruskan latihan meskipun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan Mac lalu. 

 

“Sepanjang PKP lalu, saya meminta para atlet akan menghantar rakaman video latihan mereka di rumah atau kami akan membuat panggilan video beramai-ramai untuk memaklumkan mengenai sesi latihan yang perlu dilakukan,” katanya yang turut memastikan para atlet di bawah seliaannya mematuhi arahan keselamatan yang disarankan oleh kerajaan. 

 

  1. PUSAT Kegiatan Sukan Air Tanjung Bungah yang turut menjadi pusat latihan atlet bagi sukan perahu naga dan perahu layar.

 

Rata-rata atlet kanu negeri kelihatan gembira apabila dapat meneruskan semula sesi latihan di PKSA Tanjung Bungah setelah hampir tiga bulan melakukannya sendirian di rumah. 

 

Difahamkan, skuad kanu negeri mempunyai 31 atlet iaitu 19 lelaki dan 12 perempuan. 

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI 
Gambar : ALISSALA THIAN