Atlet larian layak ke kejohanan dunia terima tajaan NGO

Admin

GEORGE TOWN – Atlet acara larian, S. Christopher yang berjaya mewakili negara ke kejohanan Athletics Road Running World Championship di Latvia pada 1 Oktober ini menerima tajaan daripada Penasihat Penang Forward Sports Club, Datuk Tom Khoo.

Christopher, 32, yang berjaya mencatatkan masa 1 jam 09 minit dalam acara Half Marathon 21km di Gold Coast Marathon pada 30 Jun lalu merupakan pelari amatur yang berkhidmat dengan pasukan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Catatan masa yang berjaya direkodkan telah melayakkan beliau menyertai kejohanan dunia tersebut dengan masa rujukan kelayakan adalah di bawah 1 jam 10 minit.

Ketua Menteri bersama-sama S. Christoper (dua dari ), barisan kepimpinan Kerajaan Negeri dan penaja ketika mengadakan sidang media dekat Komtar di sini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa Christhoper berdepan kesukaran termasuk dari aspek kewangan untuk mengambil bahagian dalam kejohanan dunia berkenaan kerana anak jati Pulau Pinang itu bukan pelari berdaftar dengan pasukan kebangsaan negara.

“Sebagai anak jati Pulau Pinang, kejayaan Encik Christopher adalah wajar dibanggakan yang mana beliau hanya merupakan pelari amatur dan bukannya profesional yang berlatih sepenuh masa dalam pasukan kebangsaan.

“Dengan ini, bagi pihak Kerajaan Negeri, saya mengucapkan terima kasih kepada Datuk Tom Khoo yang telah bersetuju menaja dan membiayai segala perbelanjaan Encik Christopher yang keseluruhan berjumlah RM10,000 meliputi tiket penerbangan, penginapan, kos pendaftaran, makan dan lain-lain berkaitan.

“Selamat maju jaya dan semoga Encik Christopher dapat berentap dan pulang dengan kejayaan mengharumkan nama Pulau Pinang dan juga negara Malaysia di persada antarabangsa,” katanya pada sidang media di sini sebentar tadi.

Turut hadir, Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen; Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Lau Keng Ee; Pengarah Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP), Harry Chai Heng Hua serta Pengerusi Penang Forward Sports Club, Lim Choo Hooi.

Pada masa sama, Kon Yeow turut mengumumkan sumbangan berjumlah RM1,000 daripada MSNPP mewakili Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Sementara itu, Choo Hooi menyatakan bahawa kejayaan Christopher bukan sahaja membanggakan Penang Forward Sports Club tetapi juga kepada rakyat Pulau Pinang.

“Kami merupakan kelab pertubuhan bukan Kerajaan (NGO) yang tidak mempunyai sumber kewangan yang banyak tetapi kami memberi peluang sebagai satu platform kepada para atlet untuk mencapai impian mereka.

“Saya bersyukur kerana sentiasa menerima tajaan berterusan daripada Datuk Thom Khoo selain mendapat kerjasama daripada pihak Kerajaan Negeri yang telah memberikan semangat kepada semua atlet seperti Christhoper.

“Justeru, kami berharap agar pihak kelab dapat bekerjasama rapat dengan pihak swasta dan Kerajaan Negeri untuk membantu atlet-atlet yang mempunyai potensi tetapi tidak mampu (dari segi kewangan),” ujarnya lanjut.

Dalam pada itu, Christopher merakamkan penghargaan kepada kelab yang diwakilinya, Penang Forward Sports Club atas sokongan dan bantuan yang diberikan sehingga membolehkan beliau mengambil bahagian dalam kejohanan tersebut.

“Keadaan cuaca di Eropah yang sangat sejuk mungkin akan sedikit memberi kesan tetapi berdasarkan pengalaman semasa berada di Gold Coast (Australia), saya yakin mampu buat yang terbaik di sana nanti,” katanya yang bertugas sebagai jurulatih kecergasan di TLDM.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : ALISSALA THIAN
Video : SIEW CHIA EN