Atlet negeri terima penghargaan bawah SKIMAS

Admin

 

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow tengah hari tadi menyerahkan Skim Insentif Kemenangan Sukan Kerajaan Negeri Pulau Pinang (SKIMAS) kepada lapan atlet negeri yang menyumbang pingat dalam kejohanan Sukan Asia Tenggara (SEA Games) di Filipina pada 30 November hingga 11 Disember 2019.

Bercakap kepada pemberita, beliau berharap insentif tersebut memberi motivasi serta membakar semangat para atlet negeri untuk memburu kejuaraan, sekaligus mengharumkan nama Pulau Pinang dan Malaysia.

“Insentif ini adalah sebagai penghargaan dan galakan (Kerajaan Negeri) Pulau Pinang kepada para atlet yang telah berusaha serta berkorban bagi mencapai prestasi terbaik demi Pulau Pinang, negara dan bangsa.

“Malah, sejak SKIMAS diperkenalkan pada tahun 2014 sehingga 2020, sebanyak RM1,047,300 sumbangan insentif kewangan telah disumbangkan kepada barisan atlet layak,” jelasnya yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Pengangkutan dan Komunikasi pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Komtar pada 4 Mac 2020.

Bercakap pada majlis sama, Exco Belia & Sukan, Soon Lip Chee menyatakan bahawa seramai 70 atlet Pulau Pinang daripada 773 atlet yang mewakili Malaysia pada SEA Games 2019 berjaya menyumbang enam pingat emas, perak (57) dan gangsa (71).

“Saya juga ingin melahirkan perasaan bangga dengan pencapaian atlet-atlet yang telah melakar kejayaan dan senantiasa mengharumkan nama negara,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Jermal.

Hampir semua Exco Kerajaan Negeri menyertai majlis penyampaian SKIMAS kepada para atlet berkenaan.

Penerima SKIMAS seperti gambar jadual berikut:

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD
Video : CHAN KOK KUAN & ALISSALA THIAN