Atlet Pulau Pinang bersinar di gelanggang tinju, bolot empat pingat emas

img 20240823 234611

SRI AMAN – Atlet Pulau Pinang bersinar di gelanggang tinju dekat Stadium Tertutup Kompleks Sukan Sri Aman di sini apabila berjaya membolot empat pingat emas daripada tujuh acara yang dipertandingkan hari ini.

Emas pertama untuk Pulau Pinang hadir menerusi R. Pavithran dalam kategori flyweight 48 kilogram (kg) – 51kg lelaki selepas berjaya menewaskan Muhammad Irfan Haikal Mohd. Fazli dari Selangor dengan keputusan 5-0.

Muhammad Syafiq Qusyairy Shahmizan kemudiannya menambahkan lagi keceriaan kontinjen Pulau Pinang dengan menghadiahkan satu lagi pingat emas menerusi kategori light heavyweight 75kg – 80kg lelaki selepas menumbangkan atlet dari Terengganu, Muhammad Azrul Ezad Zolkfli melalui keputusan 4-1.

Tidak terhenti di situ, kontinjen Pulau Pinang sekali lagi meraikan kejayaan apabila Danaraj Anantha Selvam berhasil menewaskan Sharvin Varma Raj Palaniapan dari Terengganu dalam kategori heavyweight +80kg lelaki dengan keputusan 5-0.

Sorakan terus bergema apabila seorang lagi atlet, T. S. Sharmela yang tampil penuh yakin dan berjaya mengalahkan atlet tuan rumah Sarawak, Clavia Charlene Sudang Anak Kenedy dalam kategori flyweight 48kg-52kg.

img 20240823 wa0051img 20240823 wa0049img 20240823 wa0054img 20240823 wa0050img 20240823 wa0060

Jurulatihnya, Johny Kasiran ketika dihubungi Buletin Mutiara memberitahu bahawa pasukan tinju Pulau Pinang telah melakukan persiapan yang panjang sejak tahun 2022 lagi untuk menghadapai persaingan di Sukan Malaysia (Sukma) ke-21 di Sarawak.

Beliau berkata, semua atlet tinju yang mengambil bahagian dalam temasya kali ini turut melalukan latihan bersama-sama dengan beberapa pasukan dari Taiwan dan Indonesia.

“Sebelum datang ke Sarawak, kami juga ada menjalani program latihan dengan pasukan dari Maluku dan Kepulauan Riau, Indonesia.

“Program latihan seperti amat membantu atlet-atlet tinju kita beraksi dengan cemerlang di Sukma sehingga mampu mengutip lima pingat emas secara keseluruhan.

“Oleh itu, saya sangat berterima kasih kepada Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP) terutama pengarahnya Encik Harry Chai (Heng Hua) kerana memberikan kepercayaan dan menyokong program yang kita jalankan,” katanya.

Beliau yang lebih mesra disapa Pak Johny berkata daripada keseluruhan lima pingat emas yang diraih oleh pasukan tinju, empat daripadanya disumbangkan oleh atlet yang pernah beraksi dalam Sukma sebelum ini.

“Apa yang lebih menggembirakan adalah kita ada petinju pertama yang memenangi pingat emas di Sukma.

“Kami juga sedang membina barisan pelapis yang kini sedang menjalani latihan di Taiwan sebagai persediaan untuk dihantar ke Sukma 2028,” katanya sambil menambah bahawa pasukan tinju sememangnya mementingkan persiapan yang rapi sebelum terlibat dengan kejohanan berprestij.

Terdahulu, Muhammad Rizal Wahidi menyumbang pingat emas pertama kepada skuad tinju Pulau Pinang selepas menewaskan pencabar dari Negeri Sembilan dalam kategori batan 54 kilogram (kg).

Ini bermakna pasukan tinju telah berjaya meraih lima pingat emas di Sukma kali ini iaitu melebihi sasaran awal yang ditetapkan.

 

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : MSNPP