Atlet wushu Pulau Pinang raih satu pingat emas, empat gangsa

CHUAH Shangyang (tengah) yang memenangi pingat emas acara nangun lelaki berkongsi podium dengan Wee Din Jun (kanan) dan atlet negeri Sabah di sini pada lewat petang tadi.

PUCHONG, SELANGOR – Kontinjen Sukan Malaysia (SUKMA) Pulau Pinang pada hari ini berjaya mendapat satu pingat emas dan tiga gangsa, serta satu gangsa semalam (14 September 2022).

Atlet wushu negeri, Chuah Shangyang berjaya meraih pingat emas pertama buat kontinjen negeri dengan menghimpun 9.6400 mata daripada barisan juri dalam acara nangun lelaki di Gimnasium 2, Majlis Sukan Negara di Bukit Jalil pada hari ini.

Mewakili Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee, ahli jawatankuasa pengurusan Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP), V. Jayanandhan menyampaikan pingat emas tersebut kepada Chuah Shangyang.

Menghampiri rapat dari belakang bagi acara sama dengan Chuah Shangyang ialah Wee Din Jun yang mendapat mata terkumpul 9.5530 serta berjaya merangkul pingat gangsa.

Bagi acara toulu lelaki pula menyaksikan Muhammad Danish Aizat Mohd. Firdaus Chua merangkul pingat gangsa dengan mata terkumpul 9.6000.

Dengan mata terkumpul 9.4860 mata, Coleen Cheah Weiqi juga berjaya merangkul pingat gangsa bagi acara gunshu wanita.

Kontinjen SUKMA Pulau Pinang tidak mendapat sebarang pingat bagi dua acara akhir yang turut berlangsung pada lewat petang tadi di sini.

Esok, masih berbaki empat acara yang dijadualkan berlangsung di sini iaitu taijijian lelaki, nandao lelaki, nandao wanita, changquan wanita dan changquan lelaki.

Di samping itu, acara sanda atau tempur akhir turut berlangsung esok, yang mana tiada atlet negeri mara ke arena saingan.

SOON Lip Chee (tengah, depan) yang hadir kemudian selepas selesai majlis penyampaian pingat kepada para pemenang turut mengambil peluang untuk meraikan skuad wushu negeri di Gimnasium 2 MSN, Bukit Jalil tadi.

Semalam, Kontinjen SUKMA Pulau Pinang hanya mendapat satu pingat gangsa dalam sukan wushu, sungguhpun menyasarkan dua pingat emas bagi acara nanquan lelaki dan daoshu lelaki.

Seusai acara penyampaian pingat kepada para pemenang, Chuah Shangyang dalam reaksi spontan memberitahu bahawa SUKMA Ke-20 Kuala Lumpur menyaksikan saingan yang hebat, setelah hampir tiga tahun tidak diadakan temasya sukan dwitahunan tersebut ekoran pandemik COVID-19.

“Semalam kita (Kontinjen SUKMA Pulau Pinang) memang ada menyasarkan dua pingat emas, tetapi saya tidak dapat menyumbang sebarang pingat (bagi acara nanquan lelaki) mungkin disebabkan ada sedikit kesilapan semasa aksi memanaskan badan.

“Jadi, OK lah pada hari ini saya dapat menebus balik dengan mendapat satu pingat emas yang sepatutnya saya dapat semalam.

“Lebih daripada itu, secara umum saya lihat semua atlet wushu negeri Pulau Pinang telah memberi lebih saingan yang kompetitif kepada atlet-atlet dari negeri lain,” jelasnya sambil merakamkan penghargaan kepada MSNPP dan semua yang terlibat di sebalik ‘kejayaan bersama’ pada hari ini.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI